KUALA LUMPUR 16 Mei – Leong Hup International Bhd. (Leong Hup) disenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities pada premium dua sen lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada RM1.10 dengan 20.88 juta urus niaga.
IPO tersebut merupakan yang terbesar sejak 2017 dan saham Leong Hup menokok lima sen dalam tempoh 10 minit didagangkan.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Lau Tuang Nguang berkata, syarikat dijangka mengumpul RM275 juta menerusi penyenaraian itu.
Menurut beliau, sejumlah RM207.7 juta atau 75 peratus daripada jumlah itu akan digunakan untuk perbelanjaan modal (capex) syarikat.
“Ia akan digunakan untuk mengembangkan operasi di Malaysia, Vietnam dan Filipina. Sejumlah 12 peratus keuntungan akan digunakan untuk modal kerja.
“Bakinya digunakan untuk bayaran fi dan perbelanjaan IPO dan penyenaraian,” katanya dalam sidang akhbar penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.
Leong Hup merupakan antara pengeluar ternakan, telur dan makanan ternakan bersepadu terbesar di Asia Tenggara.
Syarikat itu mencatat peningkatan hasil sebanyak 11.9 peratus kepada RM1.51 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019 berbanding RM1.35 bilion yang direkodkan pada tempoh sama tahun lepas.
Keuntungan bersih meningkat kepada RM60.59 juta berbanding RM52.69 juta dalam tempoh yang sama.
Leong Hup memiliki kilang makanan ternakan dan perniagaan ternakan di lima negara di rantau ini, dan merupakan antara pembekal utama ayam pedaging di Malaysia dengan anggaran 10 peratus penguasaan pasaran. – UTUSAN ONLINE











