Lelaki maut terjatuh ketika berkerja di kilang kelapa sawit  - Utusan Malaysia

Lelaki maut terjatuh ketika berkerja di kilang kelapa sawit 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT – Seorang lelaki maut selepas dipercayai tergelincir ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah kilang kelapa sawit di Pantai Remis di sini semalam.

 

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir. Zamzurin Maarof berkata, dalam kejadian pada pukul 10.30 lagi itu, mangsa, V. Ravindran, 28, sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan pada bahagian luar dinding dandang stim. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mangsa pada ketika kejadian sedang berdiri di atas paip stim untuk menjalankan kerja pengukuran pada bahagian luar dinding dandang stim sebelum tergelincir lalu jatuh ke atas lantai pada ketinggian enam meter.  

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala telah dibawa ke Klinik Kesihatan Changkat Kruing sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya. 

Tambah Zamzurin, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat. 

Katanya lagi, pihaknya telah mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan ke atas kejadian tersebut.

“Susulan daripada siasatan yang telah dijalankan, JKKP Perak telah mengeluarkan satu notis larangan dan lima notis perbaikan kepada majikan melibatkan kegagalan majikan mewujudkan prosedur kerja selamat dan sistem permit bekerja untuk kerja-kerja di tempat tinggi. 

“Selain itu, majikan juga didapati gagal untuk mengemaskini penaksiran risiko dan menyediakan latihan untuk kerja di tempat tinggi,” katanya. 

Menurutnya, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. 

Dalam pada itu, Zamzurin berkata, sehingga semalam terdapat enam kes maut melibatkan pekerja jatuh daripada tempat tinggi pada tahun ini. 

“Justeru, diharap semua majikan memastikan semua aktiviti kerja di tempat tinggi mengikut Garis Panduan Pencegahan Jatuh di Tempat Kerja yang telah dikeluarkan oleh JKKP pada tahun 2007 bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini