Lelaki maut kompresor bilik sejuk meletup - Utusan Malaysia

Lelaki maut kompresor bilik sejuk meletup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH – Seorang lelaki berusia 56 tahun maut, manakala anak lelakinya cedera selepas satu unit kompresor bilik sejuk yang sedang diselenggara mereka meletup hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa, Soh Cho Seng maut di lokasi kejadian, manakala anaknya, Soh Wei Chuen, 22, mengalami kecederaan ringan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Eva Saifun Kamuni berkata, kejadian itu berlaku di belakang sebuah premis menjual aiskrim di pekan Kuala Pilah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan maklumat anak mangsa, mereka tiba di kedai itu untuk melakukan penyelenggaraan kira-kira pukul 10.30 pagi kerana kompresor mengalami masalah.

“Selepas satu jam melakukan penyelenggaraan, kompresor itu meletup. Sewaktu kejadian bapanya sedang memanjat tangga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Eva Saifun berkata, kejadian itu menyebabkan Cho Seng terjatuh dari ketinggian dua meter dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Kata beliau, seorang pegawai dan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah bersama dua buah jentera dikerahkan memberi bantuan sejurus menerima maklumat.

“Kami mendapati mangsa terbaring di atas jalan raya apabila tiba di lokasi kejadian dan pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini