JASIN – Seorang lelaki maut digilis lori yang dipandunya ketika cuba menyelamatkan diri apabila kenderaan berat itu terbabas di lereng bukit di Pondok Kempas, Selandar di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa Abu Safian Amri, 37, yang cedera parah di beberapa anggota badan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Jasin.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke sebuah kilang membuat batu-bata selepas selesai mengambil muatan pasir di atas bukit.
“Setiba di simpang, lori tersebut tiba-tiba mengalami kegagalan brek dan hendak terbabas ke lereng bukit.
“Si mati kemudian bertindak melompat dari kenderaan itu untuk menyelamatkan diri, namun tayar lori berkenaan telah menggilis punggungnya. Akibat kemalangan itu mangsa mengalami patah kaki kanan serta kecederaan pada anggota badan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Arshad berkata, mangsa ditemukan oleh rakannya yang memandu sebuah lori lain dan dalam perjalanan ke kilang sama.
“Abang ipar mangsa berada di sisinya sewaktu dia dibawa ke hospital menaiki ambulans dan difahamkan si mati sempat meminta bantuan abang iparnya itu kerana kesakitan dialaminya,” katanya.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











