ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan negeri mendapati nasi dan lauk ayam yang diberikan kepada penuntut Institut al-Quran Darul Aman (Iqdar) di Jalan Sultanah di sini adalah lebihan makanan yang tidak habis dijual di sebuah restoran di sini.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, nasi dan lauk ayam itu dihantar ke institusi tersebut pada pukul 11 malam semalam dan penuntut mula menjamah makanan tersebut pada pukul 12 tengah malam.
“Siasatan awal mendapati punca keracunan makanan berkemungkinan disebabkan oleh lauk ayam yang tidak dimasak dengan sempurna.
“Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar telah mengenal pasti premis tersebut dan arahan penutupan selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan untuk pembersihan dan siasatan lanjut turut dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, penuntut yang terdedah adalah seramai 150 orang dan daripada jumlah itu, seramai 31 mangsa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.
“Mereka terdiri daripada penuntut berusia antara 18 hingga 23 tahun terdiri daripada 15 perempuan dan 16 lelaki,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya juga memberikan pendidikan kesihatan kepada penuntut selain menasihatkan pihak pengurusan agar memastikan keselamatan makanan yang diterima untuk pelajar.
“Pilihlah makanan yang segar dan panas serta mengamalkan konsep lihat, hidu dan rasa sebelum makan untuk mengelakkan makan makanan yang telah rosak,” katanya. – K! ONLINE











