KUALA LUMPUR 21 Mei – KUB Malaysia Bhd.,sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan kakitangannya dalam usaha memperbaiki kedudukan kewangan syarikat.
Presiden dan Pengarah Urusan KUB, Datuk Abdul Rahim Mohd. Zin berkata, ketika ini syarikat mempunyai sejumlah 270 orang kakitangan, bagaimanapun kumpulan masih belum memuktamadkan jumlah pekerja yang dijangka terjejas.
“Kami masih memikirkannya dan langkah ini meliputi keseluruhan kumpulan kecuali pekerja di ladang kelapa sawit,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KUB di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, sebarang tawaran yang dibuat kepada kakitangan yang terjejas adalah ‘baik’ dan langkah pengurangan itu dijangka dilakukan pada tahun kewangan 2019.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, KUB mencatatkan pendapatan berjumlah RM480.1 juta, penurunan sebanyak empat peratus berbanding tahun sebelumnya.
Kumpulan merekodkan kerugian selepas cukai berjumlah RM19.5 juta, berbanding keuntungan selepas cukai berjumlah RM31 juta pada tahun kewangan 2017. -UTUSAN ONLINE











