KUALA LUMPUR 27 Mei – Koperasi Sukarelawanan Selangor Berhad (KSSB) meraikan 100 anak-anak yatim daripada anak kakitangan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di seluruh negeri Selangor.
Pengerusi KKSB, Nizam Haris berkata, inisiatif itu adalah untuk membantu sesama muslim supaya dapat dijadikan contoh kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dengan penganjuran sebegini.
“Program ini juga dapat mewujudkan keharmonian dan perpaduan rakyat, kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik serta pentadbiran sekaligus menyambut sebuah majlis yang mulia dengan pelbagai pihak.
“Buat julung kalinya KKSB menganjurkan majlis iftar amal sebegini yang mendapat kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Yayasan Taqwa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Iftar Amal KKSB di Amcorp Mall, Petaling Jaya dekat sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras KSSB, Hayati Omar berkata, program itu bermula sejak pukul 10 pagi dimana kami membawa mereka membeli belah pakaian keperluan sempena Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Shah Alam.
“Selain memberi sumbangan dalam bentuk keperluan pakaian, anak-anak yatim itu turut menerima sumbangan duit sempena hari raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE











