Krisis air ‘racuni’ penduduk Palestin - Utusan Malaysia

Krisis air ‘racuni’ penduduk Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY 1 Mei – Laporan yang dikeluarkan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) bulan lalu menunjukkan krisis bekalan air bersih buat penduduk Palestin semakin kritikal, terutamanya di Genting Gaza.

Lapor Gulf News, laporan WHO menunjukkan sebanyak 97 peratus bekalan air yang dipam dari bawah tanah di Gaza bukan sahaja merosot pada kadar yang cepat malah gagal mencapai tahap piawaian minimum air bersih.

Keadaan itu secara tidak langsung meletakkan masa depan penduduk Palestin semakin kabur dan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini meramalkan bahawa Gaza mungkin menjadi kawasan tidak berpenghuni menjelang 2020.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tebing Barat yang dijajah Israel juga mengalami masalah sama apabila penduduknya tidak dibenarkan menggunakan sumber air termasuk tidak boleh menggali perigi baharu selain dilarang mengambil bekalan air dari Sungai Jordan.

Lebih memburukkan keadaan, mereka juga dipaksa pula untuk membeli bekalan air dari Israel dan keadaan ini secara jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Malah, syarikat air Israel, Mekorot dilapor menyalahguna keistimewaan mereka dengan memberi ganjaran dan menghukum penduduk Palestin yang dirasakan bersesuaian,

Pada 2016, seluruh komuniti Palestin di Tebing Barat terputus bekalan air selepas pihak berkuasa Palestin (PA) gagal menjelaskan bayaran untuk membeli semula air Palestin.

Penduduk Palestin di Tebing Barat menggunakan kira-kira 72 liter air bagi setiap orang sehari jika dibandingkan 240 hingga 300 liter bagi penduduk Israel.

Menurut pertubuhan kebajikan Britain, Oxfam, kurang daripada empat peratus air mentah di Gaza boleh diminum dan laut di sekitarnya tercemar oleh kumbahan dan pencemaran air dikaitkan dengan peningkatan dramatik masalah buah pinggang di Semenanjung Gaza.

Malah menurut Perbadanan RAND yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) mendapati, satu perempat daripada semua penyakit di Genting Gaza berpunca daripada air.

Hospital-hospital Gaza cuba melawan wabak yang besar itu di sebalik faktor kekurangan ubat, bekalan elektrik kerap terganggu dan kekurangan air bersih.

“Air sering tidak terdapat di Al-Shifa, hospital terbesar di Gaza dan jika ada sekali pun, ia masih tidak cukup bagi doktor dan jururawat membersihkan tangan mereka untuk melakukan pembedahan kerana kualiti air,” lapor RAND

Selain itu, Israel juga didakwa menggunakan bekalan air secara berlebihan dengan menafikan hak penduduk Palestin dan pendekatan itu diambil bertujuan memberi tekanan serta menindas penduduk.

RUMAH PENDUDUK DIMUSNAH

Dalam perkembangan lain, pasukan tentera Israel menyerang penduduk Palestin dan merobohkan dua buah kediaman di kawasan penempatan Silwan di Baitulmuqaddis Timur.

Portal Ma’an News melaporkan, jentera berat milik tentera Israel memasuki kawasan penempatan tersebut dan mengepung dua buah rumah milik adik-beradik, Anas dan Qusai Barqan.

Menurut sumber, tentera Israel memecah masuk rumah mereka dan memukul ahli keluarga Barqan, selain turut melepaskan tembakan peluru getah, semburan lada dan gas pemedih mata ke arah penduduk lain.

KADAR PENGANGGURAN MENINGKAT

Sementara itu, kadar pengangguran di Palestin pada tahun lalu meningkat sehingga 31 peratus berbanding 28 peratus pada 2017, menyaksikan jumlah individu yang tidak memperoleh pekerjaan bertambah dari 377,000 orang pada 2017 kepada 426,000 pada 2018.

Statistik Biro Pusat Penduduk Palestin (PCBS) menyatakan bahawa, kadar pengangguran menurun sedikit di Tebing Barat berbanding peningkatan ketara di Semenanjung Gaza.

Kadar pengangguran di Tebing Barat dianggarkan kira-kira 18 peratus pada tahun lalu berbanding 19 peratus pada 2017, manakala golongan yang tidak bekerja di Gaza meningkat 52 peratus pada tahun lalu berbanding 44 peratus pada 2017.

Daerah Jenin dan Baitullaham menjadi daerah paling banyak merekodkan peningkatan kadar pengangguran di Tebing Barat iaitu sebanyak 21 peratus, diikuti Hebron dengan 20 peratus.

Khan Younis pula menjadi daerah pengangguran paling tinggi di Semenanjung Gaza dengan 58 peratus manakala Gaza City mencatatkan kadar terendah dengan 48 peratus. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini