PORT DICKSON 4 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bercadang menambah jumlah barangan dan tempoh pemantauan harga yang dilaksanakan semasa enam perayaan utama.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan berunding dengan pihak pengeluar dan persatuan pengguna bagi mendapatkan maklum balas sebelum keputusannya diumumkan pada minggu pertama Ramadan.
“Kita akan ambil kira kepentingan semua pihak sebelum menentukan tempoh kawalan dan jumlah barangan. Kita kena pastikan barangan cukup dan pengguna tidak putus bekalan, manakala peniaga tidak rugi.
“Pada masa ini ada enam perayaan yang melibatkan 55 hari pemantauan (di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan). Pada umumnya peniaga kurang menyenanginya, manakala pengguna sangat menggemari tempoh kawalan harga yang panjang.
“Peranan kementerian adalah untuk cari keseimbangan senarai jumlah barang dan tempoh yang boleh diterima kedua-dua pihak,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Karnival Jualan Pengguna di sini hari ini.
Pelancaran karnival bagi Kempen Beli Barangan Malaysia itu dirasmikan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, dalam ucapannya, Saifuddin berkata, pemantauan yang dijalankan semasa musim perayaan terbukti berjaya apabila hanya dua kes peniaga melanggar peraturan daripada 27,000 peniaga yang diperiksa semasa Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.
Katanya, peraturan dan pemantauan sedemikian telah dapat mendisiplinkan peniaga yang rata-rata mematuhinya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, hasil laporan kajian rantaian bekalan makanan yang bertujuan mengenal pasti punca kenaikan harga barang akan diumumkan pada Julai ini.
Katanya, kajian awal berhubung perkara itu telah dilaksanakan sejak dua bulan lalu atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Kita akan kongsi hasil laporan, biar rakyat tahu. Peniaga perlu ambil untung terapi keuntungan melampau tidak boleh diterima,” katanya. – UTUSAN ONLINE











