PUTRAJAYA 29 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP) mencadangkan Tenaga Nasional Berhad menggunakan meter elektrik yang telah dikalibrasi atau ditentu ukur oleh badan tertentu untuk mengelak masalah bil elektrik naik mendadak berulang.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penggunaan meter tersebut akan membaiki kelemahan yang berlaku sekali gus memastikan kepentingan pengguna terjamin.
Beliau mengambil contoh penggunaan alat timbang oleh peniaga yang diberikan pensijilan oleh sebuah badan kawal selia di bawah kementerian.
“Alangkah baiknya kalau sistem sama digunakan dalam penggunaan meter elektrik dan air jika ia belum ada. Jika diadakan bacaan bil akan lebih baik dan kepentingan pengguna terjaga kerana
meter telah ditentukan ketepatan oleh badan tertentu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Inspirasi Ramadan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) peringkat Putrajaya di sini.
Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Mukhtar Ramli dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin.
Pada majlis itu seramai 370 pelajar miskin, anak yatim dan ibu tunggal menerima bantuan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Saifuddin Nasution, masalah bil TNB naik mendadak itu menjejaskan kira-kira 1.7 juta pemilik akaun, turut dibincangkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini setelah mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jelasnya, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin telah menjelaskan masalah itu dan langkah-langkah yang diambil oleh kementeriannya bagi mengatasinya.
“Kabinet turut difahamkan sehari dua ini akan ada pengumuman oleh TNB mengenai perkara itu,” katanya.
Bagaimanapun daripada perspektif pengguna kata beliau, TNB diharap dapat memperbetulkan keadaan itu dengan segera.
“Daripada perspektif pengguna, kita berharap TNB dapat bagi rebat kepada penggunaan yang telah membayar bil mereka. Bagi yang belum bayar, TNB boleh keluarkan bil baharu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











