SUDAH menjadi trend remaja masa kini menggunakan media sosial sebagai platform untuk berkongsi setiap aktiviti kehidupan seharian. Namun awas, penggunaannya tanpa kawalan boleh mengundang padah.
Tidak ketinggalan, gadis cantik kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, Hanana Bamadhaj Omar, 22, turut menjadikan laman sosial Instagram sebagai wadah untuk berkongsi kebaikan kepada orang lain.
“Saya menggunakan Instagram untuk berkongsi sesuatu dalam kehidupan saya, mencadangkan secara jujur dan tidak dibayar tentang produk penjagaan kulit, alat solek serta restoran menarik kerana saya suka berkongsi kebaikan kepada masyarakat.
“Selain itu, Instagram juga menjadi platform saya menyatakan pemikiran mengenai perspektif kehidupan,” katanya.
Tambah Hanana, sebagai mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dia juga mengambil peluang berniaga dalam talian secara kecil-kecilan untuk menambah pendapatan selain mahu mengurangkan beban kewangan kedua orang tuanya.

“Saya dan beberapa rakan memperkenalkan jenama ‘hairpot.my’ iaitu minyak untuk melebatkan bulu mata dan bulu kening. Idea perniagaan ini tercetus apabila kami saling berbincang mengenai perniagaan yang boleh menjadi nilai tambah dalam hidup seseorang.
“Saya juga kerap bertanya kepada diri sendiri bagaimana dapat membantu menyelesaikan masalah orang lain selain berkecimpung dalam perniagaan ini untuk menolong diri menjana pendapatan sampingan khususnya demi keluarga tercinta,” kata anak ketiga daripada lima beradik ini.
Tidak menggunakan jalan pintas dengan menjadikan rupa paras sebagai ‘senjata’ mempromosikan produk seperti dilakukan sesetengah personaliti media sosial, sebaliknya bagi Hanana, kebanyakan pelanggan melihat terlebih dahulu maklum balas positif daripada pengguna yang telah mencuba produknya.
“Manusia mencari nilai tambah dalam kehidupan, jadi jika pengguna ingin membeli produk kami bermakna mereka mahu menangani masalah mereka hadapi dan inilah yang saya serta rakan karib lakukan sekali gus menyumbang kepada masyarakat,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai pembahagian masa antara pelajar dan peniaga sambilan, akui gadis kacukan Arab-Pakistan ini, jalan yang ditempuh bukan mudah ditambah pula dengan kelalaian diri yang kadang-kala menghabiskan masa begitu lama menghadap komputer riba atau telefon pintar untuk melayari Internet.
“Ada hari saya malas dan gemar menangguhkan kerja sama seperti pelajar lain, tetapi saya berpegang teguh pada satu prinsip iaitu menetapkan had ketika menggunakan media sosial.
“Saya juga percaya Allah tidak akan memberi saya sesuatu melebihi kemampuan, jadi jika Dia menetapkan berniaga dalam talian sebagai punca rezeki saya, bermakna saya pasti mampu menjalankan tugas ini dengan baik,” ujarnya.
Maka, tidak hairan jika pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Politik ini menjadi penerima Anugerah Dekan hampir setiap semester pengajian biarpun dalam pada masa sama sibuk menguruskan perniagaan.











