KOM guna khidmat Millers - Utusan Malaysia

KOM guna khidmat Millers

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Mei – Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju dengan cadangan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menggunakan khidmat Dwayne Millers sebagai ketua jurulatih pecut negara.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya diamanahkan oleh KOM untuk menguruskan hal tersebut dan akan berhubung dengan jurulatih dari Amerika Syarikat itu dalam masa terdekat.

“Kita akan berhubung dengan Millers dan tanya sama ada beliau berminat atau tidak. Isu berkaitan gaji kita akan bincangkan nanti bila beliau telah bersetuju. Tugas beliau sebagai ketua jurulatih dan beberapa jurulatih pecut lain akan berada dibawahnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini kerja berpasukan antara ketua jurulatih, jurulatih dan juga atlet sendiri. Mereka perlu serasi bersama untuk menjayakan program yang bermutu dan menggilap bakat atlet pecut kita,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN dengan sukan olahraga, hari ini.

Beliau juga mengumumkan pelantikan Datuk Paduka Mumtaz Jaafar sebagai penyelaras program jurulatih di bawah KOM di mana tugasnya adalah untuk menyelaraskan program latihan kepada atlet yang tidak mempunyai jurulatih spesifik.

Sementara itu, Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata, pelantikan jurulatih luar negara itu adalah bertujuan untuk memberi pendedahan yang lebih bermutu kepada atlet dan juga jurulatih pecut yang ada sekarang.

Katanya, apa yang penting ialah atlet kebangsaan perlu menerima program latihan yang akan disediakan oleh ketua jurulatih baharu itu.

“Latihan bukan mudah. Mereka kena terima perbezaan latihan itu. Kita sekarang ada ramai atlet pecut, saya tidak pernah tengok bilangan macam ini sebelum ini. Jadi KOM kena jaga mereka,” katanya.

Karim dalam masa sama turut menyelar kenyataan jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim yang menyatakan bahawa sukar untuk atlet mempertahankan pingat emas acara 100m Sukan SEA pada edisi di Filipina nanti.

“Poad menyerah kalah sebelum bertanding dengan menyatakan acara pecut sukar untuk menang di Sukan SEA. Itu tidak bagus. Jurulatih telah jatuhkan semangat atlet untuk bertanding. Ia bukan satu etika jurulatih yang baik.

“ Mungkin betul kita tidak boleh menang tetapi ia tidak bagus. Jangan mengaku kalah. Kita kena beri cabaran kepada pelari pecut lain. Belum tahu boleh menang atau tidak,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini