Klopp, Pochettino pikul misi getir - Utusan Malaysia

Klopp, Pochettino pikul misi getir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 28 Mei – Dari segi pengurusan bersama kelab masing-masing, Jurgen Klopp dan Mauricio Pochettino dipandang tinggi dalam membawa Liverpool dan Tottenham Hotspur ke puncak kejayaan dengan mara ke final Liga Juara Juara Eropah musim ini.

Namun dari segi pencapaian, kedua-dua pengendali belum pernah mengecapi nikmat merangkul trofi sejak Klopp, 51, tiba di Liverpool pada 2015 dan Pochettino, 47, pada 2014 di Tottenham.

Ironinya, kedua-dua mereka seorang daripada Jerman dan seorang daripada Argentina bakal terus kempunan menjulang trofi pada Ahad ini apabila membuat penentuan juara kelab Eropah di Madrid, Sepanyol.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebelum ini, Klopp paling hampir mengakhiri kemarau itu sebagai pengurus malangnya Liverpool tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Manchester City di final Piala Liga musim ini, tewas kepada Sevilla pada final Liga Europa 2015/16 dan tewas kepada Real Madrid pada final Liga Juara Juara Eropah 2017/18.

Jika gagal lagi kali ini, ia pasti kekecewaan yang lebih memeritkan buat Klopp terutama selepas baharu sahaja terlepas kejuaraan Liga Perdana Inggeris kepada City dengan tipis sekali.

Kegagalan itu juga kemungkinan besar akan menyebabkan Klopp meninggalkan Liverpool kerana sebelum ini pernah melahirkan keyakinan di awal ketibaannya bahawa dia akan membawa satu trofi ke Anfield dalam tempoh empat tahun di kelab itu.

Berbeza dengan rekod Pochettino yang lebih buruk, beliau tidak pernah merangkul sebarang trofi sepanjang karier kejurulatihannya biar pun cukup dihormati dalam membentuk pasukan lemah menjadi hebat.

Jika Klopp telah meletakkan Liverpool kembali sebagai gergasi Eropah, Pochettino pula berjaya menjulang nama Tottenham ke satu tahap yang tidak pernah mereka fikir boleh sampai sebelum ini.

Sebelum Pochettino tiba, Spurs hanya dua kali layak beraksi di peringkat Eropah. Kini mereka sudah berjaya berada di final Liga Juara Juara Eropah buat kali pertama dalam sejarah empat penyertaan berturut-turut mereka termasuk musim depan.

Walaupun dikritik kerana tidak begitu mengutamakan trofi di liga domestik, Pochettino sebenarnya mempunyai misi lebih besar iaitu untuk membawa Spurs ke satu dimensi baharu.

Apa yang mengagumkan tentang kredibiliti Pochettino ini ialah Spurs tidak langsung membeli pemain baharu sejak Januari 2018 tetapi masih mampu sampai hingga ke tahap sekarang, berbeza sekali dengan Manchester City, Paris Saint-Germain, Barcelona, Juventus hatta Liverpool sendiri yang berbelanja besar.

Namun seperti kata Pochettino, tiada siapa sangka Tottenham mampu pergi sejauh ini dan tidak mustahil Liverpool akan menjadi mangsa kepada dimensi baharu yang dimaksudkannya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini