Kisah koma seorang pembikin filem - Utusan Malaysia

Kisah koma seorang pembikin filem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERTEMU mata setelah sekian lama tidak berjumpa, wawancara bersama sutradara prolifik Mamat Khalid pantas bertukar menjadi sesi bercanda. Sebenarnya melepaskan hasrat kami untuk menziarahi sejak beliau dibenarkan keluar dari Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor kira-kira sebulan lalu kerana masalah paru-paru dan jantung.

Kami bergelak saat Mamat, 56, bercerita tentang adegan-adegan yang bakal disaksikan menerusi telefilem terbaharunya, 17 Puasa yang bakal disiarkan sekitar dua minggu lagi.

Paling lucu apabila beliau turut berkongsi tentang bayangan adegan daripada filem sambungan Hantu Kak Limah yang sedang direncanakan untuk melakukan penggambaran selewat-lewatnya tahun depan. Isi dan judulnya, Mamat minta agar disimpan seketika sementara menunggu detik pengumuman.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sungguh, laut fikiran Mamat tidak pernah berhenti daripada memintal gelombang kisah yang menghempas kritikan sosial dan menggeletek hati terutamanya untuk disampaikan kepada peminat cerita Melayu. Benarlah seorang pembikin adalah seorang pencerita dan Mamat membuktikan, selagi hayat dikandung badan selama itu juga beliau akan bercerita tentang apa sahaja yang dirasakan mampu memeriahkan nilai budaya dan hiburan buat semua.

Beliaulah seorang penglipur lara yang berjuang untuk terus hidup biarpun dalam keadaan kritikal, walhal pada suatu ketika, jasad dan nyawa berdiam pada garis halus bernama kematian.

Mengakui sangat payah untuk bersuara apatah lagi menggerakkan jari semasa berjuang melawan tubuh yang tidak bermaya sehingga tertanya-tanya apakah kesudahan hidupnya begitu, Mamat bagaimanapun tidak pernah mengalah atau berasa sudah sampai masanya untuk pergi.

“Sewaktu dikomakan, saya cukup sedar bahawa saya ditidurkan. Diberi morfin (ubat) agar tidur. Saya bukan koma sebab jatuh bangunan atau tiba-tiba tidak sedarkan diri. Saya masih ingat, saya yang minta disuntik morfin. Itu perkara terakhir yang diingati sebelum tidur panjang,” cerita Mamat sebelum perbualan menjadi semakin rancak.

Kata Mamat, dalam lena yang separuh sedar, beliau sebenarnya koma sebagai seorang pembikin filem.

“Saya tidur dalam sedar dan perkara itulah yang meyakinkan saya untuk terus berjuang,” getusnya serius.

Sepanjang lena diulit wayar-wayar, ubat dan morfin yang mengkhayalkan, Mamat menceritakan beliau melihat visual seperti menukar saluran televisyen.

“Saya berjumpa dengan ramai orang. Ada antara mereka yang pernah saya jumpa. Ada yang memang mahu ditemui dan ada langsung tidak dikenali.

“Ingatan itu tidak datang serentak, tetapi apa yang boleh dikatakan, saya mengamati suasana khayal itu daripada kaca mata seorang pembikin filem,” jelasnya yang segera menidakkan benang mimpi tersebut akan dipintal dalam karya mendatang.

Budi

Ditebak apakah perkara pertama yang terlintas dalam fikiran sebaik sahaja membuka mata, jawabnya spontan: “Keluarga. Saya mahu luangkan banyak masa dengan keluarga. Merekalah yang bersama dengan saya sepanjang sakit.

“Mereka kekuatan saya. Saya mahu pastikan keluarga, isteri dan anak-anak ada di sisi ke mana saya pergi. Mahu makan bersama dan bercuti. Bukannya selama ini saya tidak pedulikan keluarga, tetapi selepas detik yang dilalui, saya mahu memperbanyakkan lagi masa dengan keluarga.”

Perjalanan hampir sejam dari Kuala Lumpur ke Sarang Art Hub, Tanjong Malim, Perak yang sudah menjadi seperti rumah kedua beliau pada cuti Hari Pekerja tempoh hari secara peribadinya buat penulis dan dua lagi kru Kosmo! sebagai detik yang lama ditunggu.

Bayangkan, sejak beliau dimasukkan ke hospital hujung Januari lalu, inilah kali pertama dapat bertanya khabar secara berdepan dengan seorang pengarah yang cukup mesra dengan dialek Perak itu.

Beliau amat disayangi, jika tidak masakan seluruh warga filem, peminat dan orang yang tidak pernah mengenalinya secara dekat mendoakan kesejahteraan dan kesembuhannya. Sepertimana kudusnya doa orang ramai, begitu besarnya tanggungjawab tertanam dalam jiwa seniman itu ketika ini.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua orang yang mendoakan saya selama berada di hospital. Membaca semula mesej-mesej dalam telefon dan dalam laman sosial, tidak termasuk yang mengadakan solat hajat atau menyedekahkan bacaan Yassin buat saya, perasaan sayu tidak boleh digambarkan. Saya menangis dan menyifatkan diri sebagai salah seorang yang cukup bertuah kerana dapat peluang begini.

“Jadi, apa lagi yang saya boleh buat untuk balas segala budi baik mereka, selain daripada berkarya. Saya kena dan akan terus berkarya untuk mereka. Itu sahaja yang mampu dilakukan untuk balas jasa orang kepada saya,” katanya mengakui berada di ambang kematian sewaktu diuji sakit.

Beliau sedar peluang hidup buat pesakit yang berdepan pneumonia atau radang paru-paru yang dimasukkan ke unit rawatan rapi sangat tipis. Namun, ujian yang dilalui memberi hikmah untuk beliau bermuhasabah tentang kesihatan diri.

“Saya rasa seperti mati hidup semula. Kalau komputer, apa yang berlaku baru-baru ini seperti reboot. Badan saya memang perlu di reboot untuk kembali normal. Alhamdulillah, sekarang saya semakin sembuh, cuma otot-otot banyak mengecut. Saya masih lemah untuk berdiri dan cepat letih apabila berjalan, sebab itu perlu gunakan kerusi roda,” katanya yang menjalani rawatan fisioterapi bersama pembantu kesihatan di rumahnya hampir setiap hari.

Melihat Mamat daripada pandangan seorang wartawan dan peminat yang tidak pernah jemu dengan leluconnya, kami tanyakan, apakah Mamat hari ini masih sama seperti Mamat yang ceria sebagaimana dikenali selama ini.

Jawab beliau: “Rasanya saya sekarang lebih serius. Saya lebih banyak diam, mungkin masih trauma dengan apa yang berlaku.”

Atas alasan sebegitu juga, Mamat seperti mendapat ‘ubat kuat’ apabila berkarya dan turun ke lokasi telefilem 17 Puasa, dua minggu lalu.

“Berkarya dan pergi ke set penggambaran umpama vitamin buat saya mendapatkan semula semangat dan tenaga. Seperkara lagi, saya mahu lakukan penggambaran sebab mahu pastikan sama ada skil pengarahan masih kekal dalam diri atau tidak. Saya takut sentuhan itu hilang. Saya mahu tahu sama ada saya masih boleh wujudkan silaturahim bersama kru di lokasi atau tidak.

“Lagi pun saya suka bercerita, cerita saya tidak habis-habis lagi. Saya juga mahu menjadi seperti pengarah-pengarah hebat dunia yang memiliki berpuluh-puluh filem. Karya saya baru berapa sahaja,” katanya.

Janji Mamat, karya 17 Puasa tidak menggambarkan si pengarahnya masih duduk di kerusi roda atau dalam proses penyembuhan.

Menariknya kata Mamat, ada pengalaman sendiri disuntik menerusi watak yang dijayakan oleh Aziz M. Osman.

“Terdapat babak Aziz pakai tongkat empat kaki yang menggambarkan diri saya. Alhamdulillah, saya boleh siapkan penggambaran selama lapan hari. Kalau ikutkan cara pengarahan, saya sukar untuk diselesaikan dalam tempoh singkat, tetapi semua dipermudahkan apabila mendapat pelakon yang bagus,” tutur Mamat.

Ramadan

Satu perkara yang tidak pernah terhakis daripada ingatan Mamat adalah rasa syukur apabila beliau masih diberi peluang untuk menikmati kemuliaan bulan Ramadan sebagaimana umat Islam lain.

Bezanya, kali ini beliau tidak berpuasa di set penggambaran yang sudah menjadi rutinnya setiap kali Ramadan.

“Mulanya, saya mahu bekerja dan turun ke set penggambaran, tetapi tidak dibenarkan oleh keluarga. Mereka mohon saya berehat.

“Mungkin ada benarnya permintaan keluarga kerana saya juga berharap dapat jalani ibadah puasa dengan sempurna tahun ini. Hal ini kerana, saya menghidapi masalah gastrik yang serius,” ujarnya yang akan meluangkan banyak waktu berada di Sarang Art Hub dan kediamannya di Ipoh sepanjang Ramadan.

Selain menunggu reaksi peminat untuk menyaksikan drama 17 Puasa, sebuah lagi karya beliau yang ditunggu-tunggu ramai adalah Rock 4 yang kini masih dalam suntingan akhir dan proses mixing.

Filem arahannya, Manap Karaoke juga bakal ditayangkan menjelang Januari tahun depan.

“Selagi hayat dikandung badan, selagi itulah saya akan berkarya.” Demikian ikrar Mamat Khalid demi membayar doa dan kasih sayang khalayak terhadap kesenimannya semasa berdepan ujian ditimpa sakit hujung Januari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini