KUALA LUMPUR 28 Mei – Chemical Company of Malaysia Bhd. (CCM) akan mengaktifkan semula dan mengoperasikan kilang Pasir Gudang 1 (PGW1) menjelang suku ketiga tahun ini dengan peningkatan kapasiti sebanyak 50 peratus.
Pengarah Urusan Kumpulan CCM, Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin berkata, kapasiti tambahan itu akan membantu mempercepat pertumbuhan syarikat.
“CCM baru-baru ini telah diberikan kontrak tiga tahun oleh Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) untuk membekalkan sejumlah maksimum 351,000 tan soda kaustik kepada Petronas Refinery & Petrochemicals Corporation Sdn. Bhd. dengan anggaran nilai kontrak RM315.9 juta,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan CCM di sini hari ini.
Beliau berkata, pembuatan soda kaustik merupakan antara penyumbang perolehan terbesar kepada perniagaan kimia CCM selain itu penglibatan dalam projek pembangunan bersepadu penapisan dan petrokimia akan membolehkannya merealisasikan bahagian lebih besar dalam pasaran soda kaustik.
“Kami gembira memandangkan sehingga kini kami berjaya menjual 100 peratus apa yang kami hasilkan. Berdasarkan peningkatan kapasiti PGW1, kami akan dapat menghasilkan lebih banyak sekali gus meningkatkan pendapatan kami,” katanya.
Mengenai prospek, Nik Fazila berkata, harga klor-alkali (produk sampingan) iaitu soda kaustik dijangka kekal rendah kerana aliran paras global dan kekangan kapasiti pengeluaran telah stabil.
“Pada suku pertama tahun lepas, harga soda kaustik adalah tinggi iaitu AS$680 (RM2,852) bagi setiap tan kering. Bagaimanapun, harga merosot kepada AS$332 (RM1,392) bagi setiap tan kering disebabkan tekanan daripada usaha Iran untuk melemahkan pembekal di Asia Tenggara serta keputusan baharu India mengenai pelesenan,” katanya.
Beliau berkata, selain segmen kimia, bahagian polimer CCM akan menumpukan segmen pasaran yang sangat khusus dan kini merupakan pembekal utama produk salutan polimer.
“Permintaan global terhadap sarung tangan kekal berdaya tahan. Berdasarkan unjuran (industri), permintaan dijangka berkembang antara lapan dan 10 peratus setahun dalam tempoh dua tahun akan datang, mendorong permintaan bagi kira-kira 40 bilion sarung tangan setahun,” katanya.
Bagaimanapun, industri menghadapi cabaran seperti penyusutan ringgit berbanding mata wang asing utama yang menyebabkan kos bahan mentah tidak menentu.
“Kami akan terus memulakan pelaksanaan automasi pengeluaran untuk mengurangkan kos, dan pada masa sama komited untuk mengurangkan penggunaan tenaga keseluruhan di kilang kami,” katanya. – BERNAMA











