KUALA LUMPUR 21 Mei – Keuntungan bersih IOI Corporation Bhd. susut kepada RM245.8 juta untuk suku ketiga berakhir 31 Mac 2019 daripada RM2.068 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.
Perolehan bagaimanapun, naik kepada RM1.89 bilion berbanding RM1.74 bilion.
Syarikat itu dalam maklumannya dengan Bursa Malaysia berkata, penurunan keuntungan ini disebabkan oleh kerugian bersih dalam pertukaran mata wang asing membabitkan pinjaman serta deposit dalam denominasi dana asing.
Keuntungan pada bahagian perladangan adalah 44 peratus lebih rendah dari tahun ke tahun pada RM132.6 juta semasa suku tahun di bawah kajian berikutan realisasi harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirong sawit yang lebih rendah.
Di sisi lain, segmen pembuatan berasaskan sumber, mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi sebanyak RM196.6 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2019 daripada RM64.1 juta tahun sebelumnya.
Melangkah ke hadapan, IOI Corp menjangkakan pengeluaran tandan buah segar oleh segmen perladangan kumpulan akan menyusut pada suku keempat tahun kewangan 2019 berikutan perubahan dalam keberkitaran corak pengeluaran di Malaysia serta penuaian tandan buah segar yang lebih rendah disebabkan pengurangan produktiviti pada bulan Ramadan.
Untuk segmen pembuatan berasaskan sumber, syarikat meramalkan segmen sub oleokimia akan terus menunjukkan prestasi baik dalam suku keempat tahun kewangan 2019 dengan permintaan yang lebih positif bagi produk dan harga bahan mentah yang lebih rendah.
Syarikat bersekutu dalam lemak istimewa yang dimiliki 30 peratus olehnya, Bunge Loders Croklaan dijangka terus menyampaikan prestasi cemerlang dalam suku keempat tahun kewangan 2019 dengan jumlah yang lebih tinggi dalam kategori nutrisi manusia serta manisan, ditambah pula dengan sinergi yang terhasil daripada integrasi syarikat ke dalam perniagaan minyak boleh makan Bunge.
“Secara keseluruhan, kumpulan menjangkakan prestasi suku tahun berikutnya akan memuaskan,” katanya. – BERNAMA











