KETUA jurulatih ragbi 15 sepasukan negara (15’s), Brad Mika sedia melakukan ‘bedah siasat’ skuad kendaliannya menjelang pertemuan menentang Hong Kong pada Kejohanan Ragbi Asia (ARC) selepas kekalahan kali kedua kepada pasukan Korea Selatan di Stadium Bukit Jalil kelmarin.
Jurulatih kelahiran New Zealand tersebut mengakui kecewa dengan persembahan anak-anak buahnya itu selepas dikesan melakukan kesilapan hingga menyebabkan pasukan ranking ke-30 dunia tersebut mengambil peluang untuk meraih kemenangan 38-16 ke atas skuad Bunga Raya. Ia adalah kemenangan kedua Korea selepas menumbangkan Malaysia 52-14 di Incheon pada minggu lalu.
Ekoran kekalahan dua kali berturut-turut itu, Mika mengakui dia bersiap sedia untuk mengatur semula strategi selepas dijadualkan berdepan skuad ranking ke-25 dunia, Hong Kong pada 15 Jun ini di Stadium Bola Sepak Hong Kong sebelum perlawanan kedua di Kuala Lumpur pada 22 Jun.
“Terlalu banyak kesilapan terutama ketika pemain menghantar bola dan menyebabkan Korea berjaya mencuri peluang tersebut untuk melakukan try pada perlawanan ini. Pada separuh masa kedua kita tetap menyerang kerana percaya skuad negara masih mampu memberi tentangan selepas hanya ketinggalan 11 mata .
“Kami tidak berputus asa dan cuba merapatkan kedudukan, namun pasukan lawan terus melakukan asakan di benteng pertahanan negara. Saya akui Korea sangat berdisiplin dan menyukarkan pemain negara untuk mencuri mata berharga pada saingan tersebut.
“Kini dalam tempoh kurang dua minggu ini kami akan melakukan latihan lebih keras dan melihat semula kelemahan yang ada ketika berdepan Korea. Kami juga akan mengkaji perlawanan Hong Kong sebelum ini untuk melihat peluang kita ketika bertemu dengan mereka.
“Saya akui corak perlawanan Hong Kong dengan Korea sangat berbeza dan sebab itu kita perlu melihat semula perlawanan mereka sebelum ini. Kami akan terus bekerja keras untuk memastikan dapat memperoleh kemenangan pertama,” katanya semalam.
Pasukan negara perlu meraih kemenangan ke atas Hong Kong sekiranya ingin kekal dalam saingan Liga Premier Ragbi Asia (ARC) pada musim 2020 nanti.











