SAUDARA PENGARANG,
SELAIN mengerjakan ibadah puasa, umat Islam diminta menjaga kesihatan dan kecergasan sepanjang bulan ini. Ini kerana laporan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan negara akan mengalami peralihan monsun di mana Monsun Barat Daya dijangka bermula pada awal Mei.
Semasa tempoh Monsun Barat Daya, angin akan bertiup secara konsisten dari arah barat daya. Keadaan atmosfera akan menjadi lebih stabil dan aktiviti perolakan menjadi kurang aktif. Seterusnya keadaan cuaca yang panas dan kering akan dirasai di kebanyakan tempat di Malaysia.
Keadaan ini menyebabkan badan kita akan mudah terdehidrasi jika kita tidak mengambil berat tentang pemakanan ketika bersahur dan berbuka puasa.
Dehidrasi berlaku apabila cecair yang diminum kurang dari cecair yang hilang dari badan. Ini akan mengganggu badan menjalankan fungsinya secara normal.
Oleh itu, adalah penting untuk kita kekal hidrasi semasa bulan puasa ini. Berikut adalah tip yang boleh digunakan. Selain daripada perlu minum lapan gelas air kosong dari waktu berbuka sehingga bersahur, kita juga boleh menggantikan susu sebagai minuman yang berkhasiat untuk mengekalkan jumlah cecair dalam badan.
Susu juga dikatakan lebih baik dari air kosong dan minuman tenaga kerana susu mengandungi protein, karbohidrat, kalsium dan elektrolit yang diperlukan oleh badan.
Memakan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi kandungan air juga membantu mengekalkan kandungan cecair dalam badan. Selain dari pemakanan, hidrasi boleh dikekalkan secara fizikal.
Pemakaian losyen dan pelembap dapat membantu kulit sentiasa lembap dan bermaya. Selain itu, elakkan meminum air berkarbonat dan berkafein semasa berbuka puasa mahupun sahur kerana akan menyebab badan cepat lesu dan dahaga.
Juga tidak digalakkan berada terlalu lama dalam bilik berpenghawa dingin terlalu sejuk kerana udara lebih kering sekali gus menyebabkan badan lebih cepat mengalami dehidrasi. Antara kesan awal dirasai adalah bibir dan kulit menjadi kering dan merekah.
Oleh itu, kita perlu bersedia dengan sebarang perubahan cuaca di bulan Ramadan ini kerana ia mempengaruhi kadar hidrasi badan. Ubah cara pemakanan untuk kekal cergas ketika berpuasa.
AZINOOR AZIDA BINTI ABU BAKAR
Pensyarah Kanan
Fakulti Kejuruteraan Awam











