Kerajaan Selangor akan tuntut kos ganti rugi kepada pemaju WCE - Utusan Malaysia

Kerajaan Selangor akan tuntut kos ganti rugi kepada pemaju WCE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor akan menuntut kos ganti rugi terhadap pemaju projek pembinaan Lebuh Raya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping yang mengakibatkan bekalan air bagi penduduk Klang terputus hampir seminggu. 

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri kini dalam proses membuat penilaian kos yang telah ditanggung susulan gangguan bekalan air tersebut.

Katanya, sepanjang berlaku gangguan bekalan air itu kerajaan negeri Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor) memberikan keutamaan bagi memastikan bekalan air pulih.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malangnya berlaku kemalangan kecil menyebabkan kebocoran semula dan kita tiada keupayaan selain membetulkannya.

“Sekarang kerajaan negeri sedang membuat penilaian kos yang telah kita tanggung dan bersedia menuntut daripada pihak pemaju yang mengakibatkan bekalan air ini terputus selama beberapa hari,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik di Bandar Elmina di sini hari ini.

Menurut beliau, tahap pemulihan bekalan air bagi kawasan daerah Klang yang terjejas sebelum ini telah mencapai tahap 91.5 peratus pada pagi tadi.

Ujar Amirudin, situasi ini memberikan peluang bagi mengagihkan bantuan lori tangki air kepada baki lapan hingga sembilan peratus yang belum menerima bekalan air seperti biasa.

Ditanya mengenai rungutan penduduk yang gagal mendapatkan bekalan air sepanjang tempoh gangguan tidak berkala itu, Amirudin menegaskan bahawa agihan dilakukan secara berkala oleh pusat khidmat dan Air Selangor. “Justeru, hendak mendapatkan bekalan air seperti biasa mungkin tiada. Tetapi ini dalam keadaan bencana, jadi terpaksa agihkan secara berperingkat.

“Mereka (penduduk terjejas) sentiasa berhubung dengan saya secara langsung melalui media sosial selain Air Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri dan kita sedaya mungkin memenuhi permintaan mereka berhubung bekalan air ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini