JOHOR BAHRU 21 Mei – Kerajaan negeri berharap projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang tertangguh sejak April lalu dapat diteruskan dalam memberikan kemudahan kepada rakyat di negeri ini untuk masuk ke Singapura.
Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, ini kerana jumlah penduduk di negeri ini yang berulang alik ke negara republik itu atas faktor bekerja adalah terlalu tinggi.
“Harapan kami di Johor ini, jika boleh kita teruskan projek RTS itu kerana memang ramai rakyat di negeri ini yang masuk ke Singapura kerana bekerja di sana.
“…dan jika perlunya untuk menambah jambatan baharu (menghubungkan ke Singapura), itu juga satu langkah yang bagus,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Raya Tabung Endowmen Universiti Teknologi Malaysia di sini hari ini.
Hari ini, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian tambahan RTS iaitu menangguhkan projek berkenaan hingga 31 September ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penangguhan itu akan membolehkan kedua-dua negara untuk meneliti semula pendekatan dan struktur projek RTS supaya ia lebih kos efektif.
Anthony berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan di Bangunan Pengendali Pelabuhan Singapura (PSA), hari ini. – UTUSAN ONLINE











