JOHOR BAHRU 11 Mei – Keputusan memorandum bantahan lantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri yang baharu akan diketahui pada 25 Mei ini.
Menurut Datuk Osman Sapian yang masih lagi Pengerusi Bersatu negeri, apa sahaja keputusan dibuat oleh pucuk kepimpinan tertinggi itu nanti akan diterima dengan hati terbuka.
“Ketika memorandum bantahan diserahkan oleh Ketua Bahagian dan wakil kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau memberitahu kalau ini kehendak orang Johor, maka terpulanglah pada orang Johor.
“Walaupun begitu reaksi Dr. Mahathir, kita tidak tahu apa keputusan akhir itu nanti. Kita sebagai ahli kena akur apa sahaja keputusan yang dibuat sama ada lantikan itu kekal atau tidak,” katanya kepada pemberita dalam program Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kampung Melayu Seri Kempas 2, di sini hari ini.
Pada 7 Mei lalu, seramai 21 Bahagian Bersatu negeri yang diwakili Ketua Bahagian dan wakil berjumpa Dr. Mahathir di Putrajaya, bagi menyerahkan memorandum bantahan lantikan Mazlan sebagai Pengerusi Bersatu Negeri.
Osman berkata, beliau masih lagi Pengerusi Bersatu hingga 25 Mei ini.
“Jadi Ketua-ketua Bahagian Bersatu negeri yang terlibat (serah memorandum) mahukan saya untuk membawa perkara tersebut (pelantikan Pengerusi Bersatu negeri) untuk difikirkan semula oleh kepimpinan tertinggi,” katanya.
Osman memberitahu, pihaknya menghantar wakil iaitu bekas setiausaha politiknya bagi menyerahkan memorandum tersebut. – UTUSAN ONLINE











