Kenderaan dilarikan perompak ditemukan semula - Utusan Malaysia

Kenderaan dilarikan perompak ditemukan semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Mei – Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik sepasang suami isteri dari Taman Senggi, Siniawan, Sarawak yang dilarikan sekumpulan perompak selepas menyamun pasangan terbabit Khamis lalu ditemukan semula.

Memetik laporan Utusan Borneo, MPV itu dijumpai semula di tepi jalan di Kampung Padang Pan, Bau, Sarawak malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintenden Poge Nyaon berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan tersebut pada pukul 7.20 malam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bau telah pergi ke Kampung Padang Pan Bau dan menemui sebuah kenderaan yang ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan kenderaan tidak berkunci.

“Hasil semakan mendapati kenderaan tersebut dilaporkan hilang bersabit laporan satu kes rompakan di Siniawan yang berlaku Khamis lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ekoran penemuan semula MPV itu, Poge berkata, kenderaan tersebut ditarik dan disimpan di stor simpanan barang kes kenderaan IPD Bau.

“Pihak Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) telah dihubungi untuk melakukan siasatan forensik. Kes ini masih dalam siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Khamis lalu, sepasang suami isteri diikat sekumpulan lima perompak yang memecah masuk ke rumah mereka di Taman Senggi, Siniawan, Bau, Sarawak yang berlaku sekitar pukul 3 pagi.

Kumpulan perompak terbabit memasuki rumah berkenaan melalui tingkap bahagian dapur rumah yang telah dibuka secara paksa ketika pasangan terbabit sedang tidur.

Dua daripada suspek kemudian bertindak mengikat tangan mangsa dan isterinya menggunakan wayar dan dawai penggantung baju sebelum bertindak menggeledah rumah mangsa dan beredar beberapa minit kemudian dengan menaiki kereta MPV milik mangsa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini