BERLIN 25 Mei- Mendapat jolokan sebagai ‘pakar piala’, Niko Kovac berharap dapat menamatkan kempen Bayern Munich musim ini, dengan memenangi gelaran berganda domestik apabila bertemu RB Leipzig di final Piala Jerman, awal pagi esok.
Pengendali Bayern itu berdepan tekanan tinggi selepas timbul khabar angin mengenai pemecatannya selepas musim ini berakhir namun situasi tidak mengganggu fokusnya.
“Saya mahu memberikan segala-galanya bagi tugasan itu (memenangi piala), tentang perkara lain termasuk segala kebimbangan mengenai posisi saya, ia adalah perkara kedua,” kata Kovac.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Karl-Heinz Rummenigge memberi khabar gembira buat Kovac apabila mengesahkan jawatannya tidak bergantung kepada keputusan final.
Jelasnya, mengakui Bayern mengharungi musim yang ‘sukar’ dan menegaskan memenangi gelaran Bundesliga minggu lalu sedikit sebanyak meringankan beban di bahunya.
“Musim yang panjang dan apabila kamu mencapai sasaran, kamu akan merasa lebih selesa dan tekanan menurun.
“Kami memiliki masa untuk bersenang lenang dengan keluarga dan kini kami akan fokus untuk aksi esok,” jelasnya.
Ini adalah kali ketiga berturut-turut Kovac membawa pasukan bimbingannya di pentas final Piala Jerman.
Terdahulu, Kovac mengendali bekas kelabnya, Eintracht Frankfurt mara ke aksi final pada 2017 dan 2018 sebelum membuat kejutan berpindah ke Bayern tahun lalu.
“Tahun lalu membuktikan tiada pasukan pilihan di final. Kedua-dua pasukan mahu menang dan kamu memerlukan sedikit tuah,” katanya yang menyifatkan Leipzig merupakan pasukan paling sukar apabila bertemu di final.- AFP











