Keganasan baharu Syria, 152,000 larikan diri - Utusan Malaysia

Keganasan baharu Syria, 152,000 larikan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK 8 Mei – Ketegangan yang memuncak di barat laut Idlib akibat pengeboman tentera kerajaan yang disokong Rusia ke atas kedudukan pemberontak Syria memaksa lebih 152,000 pelarian meninggalkan kediaman mereka sejak minggu lalu.

Jurucakap Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), David Swanson berkata, serangan ke atas wilayah dikuasai kumpulan Hayat Tahrir al-Sham menyebabkan pela­rian yang kebanyakkannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak terpaksa berpindah ke Aleppo dan kawasan pentadbiran Idlib.

Lapor Arab News, serangan terhadap wilayah pemberontak oleh tentera kerajaan itu menyaksikan sebanyak 12 buah hospital dan 10 sekolah menjadi sasaran serangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Serangan udara yang berte­rusan selama lapan hari me­ngakibatkan sekurang-kurang­nya 13 orang awam terbunuh.

“Kami bimbang dengan laporan berterusan serangan udara ke atas penempatan penduduk dan kemudahan awam,” kata­nya, semalam.

Peningkatan serangan tentera kerajaan menimbulkan kebimbangan perang baharu akan meletus dan memaksa rakyat kembali menjadi pelarian.

Seorang penduduk, Abu Ahmad, 40, dari selatan Idlib yang melarikan diri bersama keluar­ganya memberitahu, ini merupakan kali ketiga mereka sekeluarga terpaksa berpindah dengan hanya berbekalkan sedikit barangan dapur.

“Meskipun banyak kali berpindah, namun kali ini paling menakutkan. Jet pejuang tidak putus-putus melepaskan tembakan dari udara,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Dalam pada itu agensi berita Syria SANA melaporkan, tentera Syria melancarkan serangan roket ke atas kumpulan bersenjata di wilayah barat laut Hama, semalam yang membunuh beberapa pejuang namun tidak menjelaskan butiran terperinci.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mendesak agar situasi tegang di Idlib dikurangkan serta-merta bagi menghormati bulan Ramadan selain mendesak pihak bertelagah mematuhi gencatan senjata September lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini