KUALA LUMPUR 28 Mei – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kesal kerana tidak sempat untuk memberi penghormatan terakhir atas pemergian tokoh sejarawan negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim hari ini.
“Saya kesal, takziah kepada keluarga mendiang. Saya mahu ke sana dan memberi penghormatan terakhir tetapi saya tidak mempunyai masa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Bangunan Yayasan Selangor di sini hari ini.
Jelas Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), mendiang Kay Kim merupakan individu yang sangat hebat dan menyumbang kepada perkembangan sejarah negara.
“Mendiang adalah sejarawan terbilang yang sangat adil kepada semua kaum di negara ini kerana beliau sentiasa bersifat benar sama ada bercakap mengenai Cina, Melayu atau India dan semua orang sentiasa menghormati pandangannya,” katanya.
Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu dijadualkan ke Jepun minggu ini.
Kay Kim, 82, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pada jam 10 pagi tadi, pada usianya 82 tahun akibat jangkitan paru-paru. – UTUSAN ONLINE











