JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok, minuman keras dan mercun yang dianggarkan bernilai RM2.14 juta menerusi tiga serbuan di sekitar negeri ini dalam minggu pertama bulan ini.
Pengarah JKDM negeri, Datuk Mohammad Hamidan Maryani berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Bukit Indah di sini pada pukul 2.45 petang oleh Bahagian Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Gelang Patah.
Katanya, pemeriksaan di rumah terbabit yang dijadikan sebagai stor penyimpanan sementara mendapati terdapat tiga barang yang tidak bercukai iaitu minuman keras, rokok dan mercun.
“Minuman keras termasuk arak import dan tempatan dianggarkan sebanyak 5,736 liter ditemui dalam rumah terbabit. Turut ditemui ialah 383,600 batang rokok putih dan 704 kilogram (kg) mercun.
“Kesemua nilai rampasan bagi serbuan pertama dianggarkan bernilai RM79,719 dengan cukai yang terlibat sebanyak RM461,917. Dalam serbuan terbabit, tiga suspek berusia lingkungan 26 hingga 39 tahun turut ditahan,” katanya pada sidang akhbar di Menara Kastam di sini, semalam.
Mohammad Hamidan menambah, menerusi serbuan kedua pada 6 Mei lalu di Kampung Sri Paya dekat Kulai, telah menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 52 tahun.
“Pemeriksaan mendapati lori terbabit membawa muatan sebanyak 100 kotak rokok putih jenama Canyon dengan nilai rampasan sebanyak RM80,000 dengan cukai sebanyak RM668,000.
“Dalam sebuan ketiga pada tarikh sama di Jalan Sri Putri 3/1 dekat Kulai. Pasukan serbuan telah menemui sebuah lori yang tidak mempunyai pemilik dan pemandu lori di kawasan terbabit.
“Pasukan serbuan yang melakukan pemeriksaan rapi pada lori terbabit mendapati sebanyak 114 kotak besar mengandungi lebih sejuta batang rokok jenama Vson Virginia yang dianggarkan bernilai RM91,200 dengan nilai cukai sebanyak RM761,520,” katanya.
Beliau memberitahu, bagi serbuan pertama, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 manakala bagi serbuan kedua, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
“Bagi serbuan ketiga pula, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Jika sabit kesalahan bagi ketiga-tiga kes terbabit, individu yang terlibat boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 atau mana-mana lebih tinggi dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan atau lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – K! ONLINE











