SEPANG 16 Mei – Taktik dua lelaki warga India menyeludup dadah jenis syabu seberat 19.2 kilogram (kg) bernilai hampir RM1 juta yang disorokkan dalam ruangan khas peralatan dapur berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, suspek pertama berumur 26 tahun yang menaiki penerbangan Air Asia AK62 dari Kolkata, India itu ditahan pada pukul 8.05 pagi Jumaat lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
“Hasil imbasan dan pemeriksaan keatas dua buah kotak yang dibawa suspek menemukan 27 bungkusan plastik lutsinar mengandungi serbuk putih disyaki syabu disorokkan dalam sembilan unit kuali elektrik pelbagai guna.
“Kesemua bungkusan seberat 10.16 kg itu dianggarkan bernilai RM508,000,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Zulkurnain berkata, lelaki itu yang pertama kali memasuki Malaysia menggunakan pas pelancong menerima upah sebanyak RM250 untuk menjadi keldai dadah dan hanya transit di negara ini kurang 24 jam.
Menggunakan modus operandi sama, Zulkurnain berkata, suspek kedua berumur 30 tahun yang menaiki pesawat IndiGO 6E1813 dari Bengaluru, India pula ditahan pada pukul 12.01 tengah malam Sabtu lalu di KLIA2 ketika melalui mesin pengimbas.
“Pemeriksaan ke atas dua kotak yang dibawa lelaki itu menemukan 39 bungkusan plastik lutsinar mengandungi serbuk putih juga disyaki syabu di dalam 13 unit bekas pemanas makanan.
“Kesemua dadah yang disorokkan dalam ruangan khas barangan elektrik itu seberat 9.07 kg dan dianggarkan bernilai RM453,250,” katanya.
Katanya, lelaki tersebut yang sudah tiga kali datang ke Malaysia menggunakan pas pelancong menerima upah sebanyak RM1,000 untuk membawa dadah itu ke negara ini.
Zulkurnain berkata, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai tukang cat kini direman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sementara itu beliau berkata, sehingga April tahun ini, pihaknya telah menumpaskan 24 kes penyeludupan dadah di KLIA dengan jumlah rampasan seberat 41.3 kg bernilai RM1.85 juta.
“Justeru saya memohon kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan kepada JKDM dengan menghubungi talian bebas tol 1800888855 atau laman web aduan.customs.gov.my,” katanya. – UTUSAN ONLINE











