‘Kasi langgar Austria’ - Utusan Malaysia

‘Kasi langgar Austria’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Mei – Jentera serangan skuad negara diseru supaya jangan mati akal atau gentar dengan benteng pertahanan Austria pada saingan separuh akhir Kejohanan Hoki Siri Final Lelaki FIH 2019 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, di sini, malam esok.

Ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans memberi amaran kepada anak buahnya supaya bersedia dengan juara Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2018 itu yang memperagakan corak permainan yang berbeza dan hanya membolos dua gol dan menjaringkan lapan gol sepanjang tiga perlawanan peringkat Kumpulan A.

Jurulatih kelahiran Belanda itu berkata, Austria, selaku pasukan ranking ke-19 dunia, akan meneruskan rentak permainan bercorak defensif dan ia menuntut skuad Malaysian Tigers merancang formula untuk menembusi benteng lawan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Austria memperagakan sistem permainan yang berbeza berbanding kebanyakan pasukan lain dan pemain negara mungkin terperangkap dengan gaya permainan mereka. Namun, pemain perlu sedar untuk berdepan dengan situasi seperti ini,” katanya di sini hari ini.

Oleh itu, katanya, skuad negara perlu mencari idea untuk mengambil kesempatan daripada kelemahan pasukan lawan itu.

Justeru, katanya, meskipun memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri namun skuad negara tidak boleh hilang fokus ketika menentang Austria yang memiliki benteng pertahanan yang cukup mantap serta mampu menghasilkan gol.

Austria muncul juara kumpulan dan layak secara automatik ke separuh akhir manakala Malaysia menewaskan Wales 2-1 pada aksi play-off semalam untuk mara ke saingan empat pasukan terbaik.

Persembahan skuad negara pada saingan tersebut tidak memberangsangkan selepas diaibkan oleh Itali 4-2 pada saingan Kumpulan B, Isnin lalu.

Ditanya mengenai kekecohan tercetus antara dua pemain negara di bangku simpanan semasa pertemuan dengan Itali, Oltmans berkata ia ada masalah kecil dan telah diselesaikan pada masa itu.

“Hanya perbezaan pendapat dan mereka tolak menolak antara satu sama lain. Selepas itu, mereka selesaikan isu tersebut pada saat itu juga dan kembali memberi tumpuan,” katanya.

“Ini tidak serius dan selesaikan serta-merta,” katanya,

Sementara itu, pemain veteran, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil meminta rakan sepasukannya supaya tidak mensia-siakan peluang melakukan jaringan.

“Semua perlawanan memang susah, bukan mudah untuk bermain dengan Austria di separuh akhir kerana pemain pasukan itu memiliki asas yang baik sama ada dalam hoki dalam dewan atau padang.

“Kita kena berhati-hati apabila mereka masuk ke kawasan D, struktur benteng pertahanan harus lebih baik, manakala apabila ada peluang, kita kena pastikan kita jaringkan gol,” katanya.

Perlawanan separuh akhir pertama antara Itali dan Kanada akan bermula jam 5.50 petang diikuti Malaysia menentang Austria pada jam 8.05 malam esok.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini