Karipap rempah giling percuma untuk ibu mengandung - Utusan Malaysia

Karipap rempah giling percuma untuk ibu mengandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JITRA 9 Mei – Pesanan ibu supaya memberi manfaat kepada orang lain semasa berniaga membuatkan tiga beradik meneruskan tradisi memberi kuih karipap kepada ibu-ibu mengandung secara percuma sempena Ramadan.

Mohd. Shaiful Hafiq Mohd. Hadir, 27, yang berniaga di Bazar Ramadan Taman Suria, di sini berkata, kata-kata itu sentiasa tersemat kepadanya dan dua lagi adik, Mohd. Zulfadhly, 24, dan Mohd. Hashiff, 19, sejak mengambil alih perniagaan itu daripada ibu mereka.

Menurut Mohd. Shaiful Hafiq, ibunya, Hafizah Abu Hassan, 52, sebelum ini hanya berniaga secara kecil-kecilan di Kampung Padang, di sini sebelum mereka tiga beradik meneruskannya kira-kira enam tahun lalu.

“Ibu pesan, hang (kamu) berniagalah macam mana sekali pun tetapi kalau tidak memberi manfaat kepada orang lain lebih baik tidak payah berniaga, sejak itu kami tekad untuk memberikan karipap istimewa ini secara percuma kepada ibu mengandung.

“Malah, bukan sahaja sempena Ramadan, pemberian ini sentiasa dilakukan setiap hari melalui gerai-gerai jualan kami di sekitar negeri ini. Maksudnya, selama sembilan bulan seseorang wanita yang mengandung boleh mengambil secara percuma karipap kami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Karipap rempah giling percuma untuk ibu mengandung
MOHD. ZULFADHLY MOHD. HADIR menunjukkan kuih karipap rempah giling yang dijual di Bazar Taman Suria di Jitra, Kedah, hari ini. 
Gerai mereka akan memberi kuih karipap kepada ibu-ibu mengandung secara percuma sempena Ramadan. – UTUSAN ONLINE/Fariz Rusadio

Selain Bazar Taman Suria, Mohd. Shaiful Hafiq memberitahu, pemberian percuma itu turut dilakukan di lima lagi bazar lain antaranya di Taman Mahsuri, Taman PKNK, Stadium Darul Aman, Changlun dan Bazar Ramadan Kupang, Baling.

“Kami memperuntukan kira-kira 1,000 biji karipap berinti daging dan ayam secara percuma sepanjang Ramadan ini di keenam-enam bazar tersebut serta 13 gerai jualan lain setiap hari,” katanya.

Ujarnya lagi, resipi karipap yang diwarisi sejak turun temurun menjadikan kuih itu istimewa seperti minyak yang cepat meresap di bahagian kulitnya sebaik sahaja ia siap digoreng.

“Setiap hari, terdapat sekurang-kurangnya lima ibu mengandung singgah ke gerai kami untuk mendapatkan karipap percuma, kadang-kala ada yang malu apabila kami beritahu tidak dikenakan sebarang bayaran kerana mereka mengandung,” katanya.

Sementara itu, seorang wanita, Halimatul Fazliyana Harun, 23, yang sedang mengandung memuji langkah tiga beradik itu yang menghargai ibu-ibu mengandung.

“Pada hari pertama Ramadan yang lalu, saya sudah dapat karipap percuma daripada mereka di Bazar Changlon, tak sangka hari ini saya ke Bazar Taman Suria mereka melakukan perkara sama kepada ibu mengandung.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang mungkin menghargai pengorbanan seorang ibu semasa melahirkan mereka sebelum ini, usaha murni ini wajar dipuji dan dicontohi orang lain,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN