KUALA LUMPUR 11 Mei – Gabungan Teksi, Kereta Sewa Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se-Malaysia (GTSM) meminta agar kerajaan mengkaji semula keputusan memberi kelonggaran kepada pemandu e-hailing untuk tidak menukar kategori kenderaan persendirian kepada AH (e-hailing persendirian).
Yang Dipertua GTSM, Kamarudin Mohd. Hussain berkata, tindakan itu seolah-olah telah memperjudikan keselamatan orang awam yang menggunakan perkhidmatan e-hailing atau grab.
Katanya, keputusan itu juga didakwa bertujuan untuk melindungi kepentingan syarikat Grab sekali gus mengetepikan nasib pemandu teksi di seluruh negara.
“Kami amat kecewa dan kesal dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di atas apa yang telah dilakukan khususnya keputusan memansuhkan ketetapan pertukaran kod kenderaan persendirian yang terlibat secara langsung dalam aktiviti pengangkutan awam.
“Pada saya keputusan itu jelas membuktikan beliau (Anthony) telah menyalahguna jawatannya untuk melindungi kepentingan syarikat Grab,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











