Kaedah penetapan tarif ke atas pengguna tenaga - Utusan Malaysia

Kaedah penetapan tarif ke atas pengguna tenaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Mei – Sesetengah pihak menjangkakan Suruhanjaya Tenaga (ST) akan membuat perubahan kos bahan api dan penjanaaan bagi tarif elektrik de­ngan menurunkan kadar tersebut agar sepadan dengan harga gas dan arang batu antarabangsa susulan tempoh enam bulan sudah hampir berakhir pada 30 Jun ini.

Memandangkan dua pertiga daripada bil elektrik pengguna adalah kos bahan api dan penjanaan, harga gas dan arang batu antarabangsa yang lebih rendah baru-baru ini mungkin menimbulkan jangkaan sedemikian.

Arang batu dan gas merupakan dua bahan api utama dalam penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia dengan kira-kira 41 peratus loji kuasa dijanakan oleh arang batu manakala lebih 47 peratus menggunakan gas asli.

Memuatkan artikel berkaitan…

Situasi ini menyebabkan ­Malaysia mudah terdedah ­kepada harga bahan api global.

Harga arang batu

Kebelakangan ini, harga kargo arang batu semasa bagi eksport dari terminal Newcastle, Australia susut lebih 25 peratus daripada AS$118 (RM488.28) satu tan pada Julai 2018 kepada kira-kira AS$88 (RM364.14) satu tan.

Harga semasa gas asli cecair (LNG) Asia bagi penghantaran pada Mei dilaporkan merosot lebih 60 peratus daripada AS$11.81 (RM48.87) per MMBtu pada September 2018 kepada sekitar AS$4.65 (RM19.24) per MMBtu minggu ini.

Jadi, adakah penurunan harga arang batu dan gas sejak beberapa minggu lepas itu akan mendorong kepada pemberian rebat?

Penekanan penting di sini adalah struktur tarif tidak pernah berubah sejak 2014.

Berdasarkan mekanisme Pe­lepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) semasa, ST membuat ­perubahan kos bahan api dan penjanaan bagi tarif elektrik, sama ada sebagai ­rebat atau surcaj, dalam semakan semula yang dilakukan setiap enam bulan, namun ia tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

Kos sebenar

ICPT semasa adalah bagi tempoh antara 1 Januari dan 30 Jun 2019 manakala seterusnya mulai 1 Julai hingga 31 Disember 2019.

Mekanisme berdasarkan rangka kerja Pengawalseliaan Berasaskan Insentif (IBR) itu diperkenalkan pada 2014. ­Sejajar dengan piawaian global, ICPT menggalakkan penetapan tarif yang saksama dan telus.

Tarif ditentukan oleh ST apabila ia menilai struktur harga dan kos pada setiap enam bulan dengan sela masa enam bulan pelaksanaan.

Sekiranya kos sebenar keseluruhan bagi bahan api sepanjang tempoh enam bulan sebelum itu adalah lebih tinggi daripada jangkaan kos pengeluaran elektrik, maka surcaj akan dikenakan ke atas pengguna bagi tempoh enam bulan berikutnya.

Bagaimanapun, jika kos sebenar bahan api adalah lebih rendah, pengguna akan menikmati pengurangan atau rebat bagi tempoh enam bulan seterusnya.

Tarif asas purata semasa, seperti yang diputuskan tahun lepas adalah 39.45 sen per kWh. Lazimnya, kadar itu disemak semula sekali dalam tempoh setiap tiga tahun dengan ST ­telah menetapkan paras tarif asas bagi 2018, 2019 dan 2020.

Surcaj

Pada setiap enam bulan pula, ST akan meneliti struktur harga antarabangsa dan memban­dingkannya dengan harga bahan api asas bagi penjanaan elektrik, untuk menentukan sama ada perlunya surcaj atau rebat ICPT, menurut sumber industri.

“Ini membolehkan kaedah penetapan tarif secara berstruktur, telus dan bermaklumat memberi perhatian kepada keperluan ketara perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi syarikat utiliti tenaga, termasuk TNB,” katanya.

Bagaimanapun, aspek pen­ting juga perlu diambil kira daripada senario berkenaan, iaitu walaupun harga arang batu dan gas telah susut, namun paras­nya masih mengatasi harga bahan api dijangkakan, yang digunakan dalam menentukan tarif asas 39.45 sen per kWh.

Ini kerana jangkaan bagi harga purata arang batu di pasaran antarabangsa adalah AS$75 (RM310.35) satu tan dan gas berpaip pada RM27.20 per MMBtu dari 2018 hingga 2020.

Oleh demikian, ini mungkin menyukarkan ST untuk mengurangkan tarif buat masa ini kecuali harga arang batu dan gas lebih rendah berbanding harga asas yang dijangkakan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini