KUALA LUMPUR 10 Mei – Kadar pengangguran pada suku pertama 2019 kekal 3.3 peratus berbanding suku keempat 2018 bagaimanapun pada Mac 2019 naik 0.1 peratus kepada 3.4 peratus berbanding 3.3 peratus pada bulan sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, tenaga buruh Malaysia pula meningkat 2.2 peratus berbanding suku pertama 2018 kepada 15.53 juta orang.
Katanya, penduduk bekerja turut meningkat 2.2 peratus dalam tempoh yang sama kepada 15.01 juta orang.
“Perbandingan suku tahun ke suku tahun pula menunjukkan tenaga buruh dan penduduk bekerja meningkat 0.5 peratus berbanding suku tahun sebelumnya.
“Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada suku tahun ini naik 0.1 mata peratus berbanding suku keempat 2018 kepada 68.7 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini menerbitkan Laporan Survei Tenaga Buruh Malaysia Suku Pertama 2019 yang membentangkan statistik tahunan berkaitan tenaga buruh, guna tenaga dan pengangguran yang diperoleh daripada Survei Tenaga Buruh (STB).
Laporan itu membekalkan statistik utama tenaga buruh mengikut ciri-ciri demografi dan sosioekonomi antaranya jantina, kumpulan umur, kumpulan etnik, pencapaian pendidikan dan pekerjaan.
Pada suku pertama 2019, KPTB perempuan mencatatkan kenaikan 0.1 mata peratus kepada 55.7 peratus berbanding suku tahun sebelumnya. KPTB lelaki turut meningkat0.2 mata peratus kepada 80.9 peratus pada suku pertama 2019.
Dalam masa yang sama, Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan bahawa pada suku pertama 2019, komposisi penduduk bekerja yang berpendidikan tertiari meningkat 0.9 mata peratus kepada 29.6 peratus berbanding 28.7 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Habis.











