LONDON – Selepas 33 tahun, seorang lelaki yang ditinggalkan ketika berusia 10 hari di Lapangan Terbang Gatwick, berjaya menemukan keluarganya semula.
Steve Hydes yang turut dikenali sebagai Gary Gatwick iaitu nama yang diambil sempena maskot lapangan terbang itu bagaimanapun hanya berpeluang bertemu semula dengan bapa dan adik beradik kandung yang lain kerana ibunya sudah meninggal dunia.
Steve ditemukan oleh pembantu jualan, Beryl Wrigh pada 1986 di tandas wanita dan ketika itu dia hanya dibaluti selimut.
Dia kemudian diserahkan ke rumah anak yatim sebelum dijadikan anak angkat oleh sebuah keluarga.
Steve masih menyimpan semua barang yang ditemukan bersamanya ketika ditinggalkan termasuk anak patung Gary Gatwick.
Pemuda itu berjaya mengesan keluarganya selepas menjalani ujian DNA.
“Selepas 15 tahun mencari, saya berasa begitu gembira dan berterima kasih atas usaha yang dilakukan pakar genetik, Cece Moore dan Helen Riding yang berjaya menemukan semula saya dan keluarga kandung.
“Malangnya ibu kandung saya telah meninggal dunia, jadi saya tidak dapat mengetahui apa sebenarnya yang terjadi sewaktu saya ditinggalkan.
“Bagaimanapun, saya dapat menemui bapa dan adik beradik kandung yang tidak tahu pun tentang kewujudan saya,” katanya menerusi status yang dimuat naik dalam laman Facebook. – METRO UK











