KUALA LUMPUR 21 Mei – Jualan kenderaan dijangka lebih tinggi pada Mei dan Jun didorong oleh kempen promosi Hari Raya, tetapi dalam jangka masa panjang sektor automotif akan menghadapi cabaran dengan ekonomi luaran dan domestik yang tidak menentu, menurut AmBank Research.
Katanya, jualan dijangka lebih tinggi dalam tempoh dua bulan tersebut berikutan rebat, hadiah percuma dan insentif lain yang ditawarkan untuk menarik pembeli.
“Kami percaya kempen promosi sempena musim perayaan pada Mei-Jun tahun ini akan sama dengan tempoh bebas cukai pada 2018 yang membawa kepada peningkatan sementara kepada jualan kenderaan.
“Musim perayaan ini dilihat sebagai masa yang sesuai kepada pengeluar kenderaan untuk mengurangkan inventori mereka kepada tahap yang lebih baik berikutan model baharu akan dilancarkan pada akhir 2019 dan 2020,” katanya dalam nota di sini hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, cabaran kekal dalam mendorong perbelanjaan pengguna untuk barangan mahal seperti kereta walaupun kadar pembiayaan sewa beli lebih menarik berikutan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini.
“Kami percaya pertumbuhan yang kukuh bagi jualan kenderaan akhirnya akan bergantung kepada pertumbuhan gaji yang lebih tinggi dan keadaan ekonomi yang lebih baik untuk meningkatkan tahap keyakinan isi rumah,” katanya. – BERNAMA











