Jika DBKL ambil tindakan, kebakaran tidak berlaku - Peniaga - Utusan Malaysia

Jika DBKL ambil tindakan, kebakaran tidak berlaku – Peniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Mei – “Saya ada berjumpa dengan salah seorang pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum Ramadan lalu untuk memohon pihaknya membaiki bumbung yang berlubang bagi elak litar pintas ketika hujan tapi tiada sebarang tindakan diambil,” .

MEK ZAINAB MAN. - UTUSAN ONLINE
MEK ZAINAB MAN 

Demikian diluahkan Mek Zainab Man, 53, salah seorang daripada 30 peniaga gerai di hadapan Wisma Yakin di Jalan Masjid India yang terlibat dalam kebakaran awal pagi ini.

Mek Zainab yang juga Ketua Peniaga-peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) berkata, dia membuat aduan itu berikutan bimbang hujan lebat sejak akhir-akhir ini akan menyebabkan litar pintas di gerai bazar Jalan Masjid India di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami bimbang terkena renjatan elektrik atau litar pintas akan menyebabkan kebakaran dan lihatlah apa yang berlaku sekarang ini. Ia betul-betul terjadi.

“Saya betul-betul berasa terkilan dan sangat sedih, tiada erti raya buat kami di sini. Jika DBKL ambil tindakan segera sebelum Ramadan, pasti kejadian ini tidak akan berlaku,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.

Tambah Mek Zainab, pihaknya tidak bersetuju jika dipindahkan sementara ke tempat lain kerana pelanggan akan ‘lari’ dan peniaga akan bertambah rugi.

“Saya cadangkan agar pihak berkuasa baiki semula pendawaian elektrik di sini dan pastikan ia betul-betul selamat daripada berpindah ke tempat lain yang akan menyebabkan kesesakan lebih teruk,” katanya.

Ibu dua anak itu baru sahaja menambah stok barangan kasut yang akan dijual bernilai RM30,000 dan telah rugi kira-kira RM70,000 bagi dua buah kedai yang dimilikinya hangus terbakar, awal pagi tadi.

Sementara itu, peniaga, Linda Razali yang telah 15 tahun berniaga tudung di situ berkata, gerai tersebut satu-satunya punca pendapatan dia sekeluarga dan kini hanya mampu menangis sahaja kerana terlalu sedih dengan apa yang berlaku.

“Saya pada awalnya tidak percaya sebelum rakan membuat panggilan video dan menunjukkan keadaan kedai saya sedang terbakar. Saya terus terduduk dan menangis.

“Saya berdoa supaya kami dapat bangkit semula sebab berniaga sekarang sangat susah sejak bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman dipindahkan ke Jalan Raja, kami tidak untung seperti tahun-tahun lalu kerana tiada pengunjung mahu membeli-belah di sini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini