TOKYO – Jepun merancang untuk membeli sebanyak 105 buah pesawat halimunan Amerika Syarikat, F-35, kata Presiden Donald Trump hari ini (27 Mei).
Beliau berkata, bilangan itu akan menjadikan Tokyo pemilik armada F-35 terbesar dalam kalangan negara-negara sekutu AS.
Trump yang mengadakan lawatan rasmi ke Tokyo berkata, Jepun baru mengumumkan rancangan untuk membeli 105 jet halimunan F-35 yang baharu.
“Halimunan kerana anda tidak akan nampak pesawat ini. Pembelian ini akan memberikan Jepun armada F-35 terbesar berbanding mana-mana sekutu AS,” katanya.
Presiden AS itu merujuk kepada perjanjian pembelian yang pertama kali diumumkan oleh pengeluar F-35, syarikat Lockheed Martin pada Disember 2018.
Kerajaan Jepun mengumumkan dalam bajet pertahanan terbaharunya pada Disember tahun lalu rancangan untuk membeli 105 unit F-35A yang boleh mendarat dan berlepas secara konvensional.
Media tempatan ketika itu melaporkan, kos pembelian tersebut dianggarkan berjumlah lebih satu trilion yen (RM38.1 bilion). – AFP











