KOTA BHARU 21 Mei – Persatuan Suara Anak Kelantan (Suara Kelantan) membidas sikap segelintir pihak yang seolah-olah mahu menjadi ‘batu api’ dengan menimbulkan pelbagai persepsi tidak baik kepada kerajaan dalam isu memperkenalkan subjek agama lain di sekolah dan kuota kemasukan pelajar di kolej matrikulasi.
Presidennya, Che Isham Shahrudin Che Hamat Nordin berkata, keputusan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik menolak cadangan memperkenalkan mata pelajaran agama lain di sekolah dan mempertahankan kuota sedia ada bagi matrikulasi memperlihatkan ketegasan kerajaan menjaga hak-hak bumiputera.
“Pesan saya kepada pihak berkepentingan usahlah terlalu ghairah mencari dan mengetengahkan sesuatu isu yang dianggap boleh mengeruhkan keharmonian masyarakat berbilang kaum sebagai modal politik.
“Sebagai rakyat kita perlu memberikan sokongan kepada setiap usaha yang dilakukan kerajaan terutama melibatkan kepentingan bersama,” katanya di sini hari ini.
Che Isham Shahrudin memberitahu, Suara Kelantan berharap Dr. Maslee tidak mudah ‘goyang’ dan terus konsisten dalam mendepani isu-isu memperkasakan pendidikan di negara ini.
Katanya, hal ini bagi memastikan seluruh rakyat dapat menikmati angin perubahan di bawah gagasan Malaysia Baharu. – UTUSAN ONLINE











