Jamu selera di 'kantin', murah, santai - Utusan Malaysia

Jamu selera di ‘kantin’, murah, santai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Mei – Dibuka awal April lalu, Kantin Setor Gombak di Jalan Gombak dekat sini yang menggabungkan pasar karat dan gerai makan mampu menggamit kehadiran warga kota terutama pada hujung minggu.

Dengan keluasan kira-kira 2,314 meter persegi, lokasi ini direka untuk semua golongan usia mahupun keluarga yang ingin membawa anak kecil.

Pengurus Jualan dan Pemasaran Kantin Setor Gombak, Putera Al Matin Mohd. Zain berkata, 18 gerai dibuka menawarkan pelbagai hidangan popular tempatan, Barat dan Nusantara yang beroperasi setiap hari mulai pukul 5 petang hingga 3 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu, 20 hingga 30 peniaga bebas pula menjual pelbagai produk antik, vintaj dan terpakai seperti pakaian, kasut, aksesori diri dan perhiasan rumah di lorong Bazar Karat Special manakala jualan barangan lama di tapak kekal dikenali Gudang Lima.

“Kami mengambil masa hampir setahun untuk mengubah suai lokasi ini daripada medan selera biasa kepada tempat santai yang kondusif kepada pengunjung,” katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau menambah, tempat riadah untuk seisi keluarga dan sesuai untuk semua golongan semakin mendapat permintaan tinggi dalam kalangan warga kota.

Katanya lagi, persekitaran yang moden dan bercirikan urban serta terbuka menjadikan ia destinasi popular untuk golongan muda.

Beliau memberitahu, pihaknya sengaja menggunakan nama kantin kerana mahu mengembalikan nostalgia ketika zaman persekolahan yang mana kantin simbolik kepada tempat makan layan diri.

“Kami menggunakan nama kantin berikutan ia sinonim dengan tempat makan yang menawarkan harga makanan berpatutan, di samping konsep jualannya juga seperti kantin iaitu pembeli perlu membeli makanan di gerai sebelum menjamahnya di ruang makan disediakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini