MELAKA – Dua lelaki bermotosikal dipercayai penghantar makanan kepada umat Islam yang tidak berpuasa berjaya meloloskan diri daripada penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam serbuan Op Ramadan yang dilakukan di sekitar Melaka Tengah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, kedua-duanya berusia lingkungan 20-an dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk mengambil makanan yang dibawa di sebuah kawasan tapak pengkalan lama nelayan di Klebang.
Kedua-dua individu tersebut bagaimanapun sempat melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal selepas menyedari kehadiran anggota JAIM.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, hasil siasatan, lokasi tersebut sering dijadikan tempat lepak bagi kaki ponteng puasa dan khidmat penghantar makanan digunakan untuk mengelak dicekup ketika membeli di gerai makanan berdekatan.
“Kita percaya individu terbabit adalah penghantar makanan kepada kaki ponteng puasa, malah penguat kuasa turut ternampak lelaki bermotosikal ini berlegar-legar di kawasan lain bersama bungkusan makanan.
“Mereka ini mungkin menerima pesanan daripada pelanggan menerusi telefon dan bersetuju untuk menghantar makanan di lokasi terpencil bagi mengelak daripada dicekup penguat kuasa,” katanya selepas mengetuai Op Ramadan di sekitar Melaka Tengah di sini, hari ini.
Sementara itu, Rahimin berkata, sebanyak lima surat saman hadir memberikan keterangan di pejabat JAIM telah dikeluarkan kepada umat Islam yang tidak berpuasa mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka kerana tidak menghormati bulan Ramadan.
“Dua daripada mereka diambil tindakan ketika merokok, manakala dua lagi sedang membeli makanan termasuk seorang warga Pakistan serta seorang melibatkan peniaga makanan. Kesemua mereka berumur antara 35 hingga 57 tahun,” katanya.
Katanya, jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 atau enam bulan penjara bagi kesalahan pertama, manakala denda sebanyak RM2,000 atau setahun penjara bagi kesalahan kedua atau kedua-duanya sekali. – K! ONLINE











