KUALA LUMPUR 21 Mei – Parti Gerakan menggesa Menteri Pendidikan dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berhentikan mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan golongan belia.

Ketua Biro Perpaduan Nasional Gerakan, H. Puvaniten berkata, sekiranya, ia dilakukan sebagai konsultasi awam, ia tidak harus diumumkan secara umum selagi keputusan belum muktamad lagi.
“Pelaksana dasar dan pemegang taruh mesti mencari titik keseimbangan untuk mendapat jalan keluar agar ahli masyarakat, terutama golongan muda yang masih belum menyelesaikan hutang PTPTN dapat menarik nafas lega. Tindakan memperkenalkan semula sekatan ke luar negara adalah satu yang pusingan ‘U’.
“Jika PTPTN mahu memperkenalkan semula sekatan ke luar negara termasuk memperbaharui pasport dan lesen memandu, ini akan menwujudkan satu gelombang penolakan belia yang besar terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, PH perlu ingat lebih 70 peratus golongan muda adalah mereka yang memberi sokongan kepada PH dalam pilihan umum lalu dan jangan sesekali mengecewakan serta menekan golongan ini.
Katanya, kaedah pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih samar dan kurang efisyen menunjukkan kegagalan kerajaan PH dan PTPTN mengendalikan sesuatu isu.
“PTPTN masih gagal mencari solusi untuk golongan belia. Sekiranya pengurusan PTPTN gagal mencapai penyelesaian isu PTPTN, tukar pengurusan PTPTN.
“Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan harus letak jawatan kerana kegagalan beliau mencapai mekanisme isu PTPTN. Kerajaan PH pun sudah mencapai pentadbiran lebih setahun namun isu PTPTN masih gagal mencapai penyelesaian,” katanya.
Tambah beliau, sejak Wan Saiful dilantik menjadi Pengerusi PTPTN, nampaknya semua cadangan dan ideanya ditolak mentah-mentah bukan sahaja oleh rakyat, malah kerajaan PH dan ahli-ahli politiknya sendiri.
“Mungkin Wan Saiful terlupa bahawa bukan semua graduan yang telah tamat pengajian secara automatik mendapat kerja sehingga mencecah 4,000 sebulan. Sebaliknya masih ramai graduan yang menganggur dan masih mencari kerja,” katanya.
Puvaniten menambah, usaha dan cadangan disarankan kerajaan mahupun badan itu sendiri masih gagal mencapai fungsi yang saksama iaitu meringankan beban peminjamnya, katanya.
Tambah beliau, kemelut dalam PTPTN yang dilihat semakin tidak menghiraukan peminjamnya berlaku apabila sehingga kini pengerusi badan itu masih belum mendapat kata putus untuk menyelesaikan masalah ini.
Puvaniten menekankan “PH hari ini meraih undi golongan belia menerusi tiket PTPTN. PTPTN perlu menyediakan satu mekanisme baharu yang tidak membebankan peminjam.
“Jangan bebankan lagi rakyat khususnya anak muda. Jangan nak sering u-turn manifesto PRU-14. Janji mengenai penangguhan bayaran sehingga gaji mencecah RM4,000 terhadap peminjam PTPTN yang terkandung dalam manifesto pilihan raya lalu dapat diteruskan,” katanya.











