KUALA TERENGGANU 16 Mei – Perkembangan terbaharu sukan bola sepak Terengganu dikejutkan dengan peletakan jawatan Irfan Bakti Abu Salim sebagai Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) berkuat kuasa serta-merta, semalam.
Peletakan jawatan itu berikutan prestasi buruk dan memalukan skuad penyu dalam dua perlawanan sebelum ini hingga gagal mara ke separuh akhir Piala FA ketika menentang Pahang di samping tewas 3-5 ketika bertemu Petaling Jaya (PJ City FC), kelmarin.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, pihak pengurusan pasukan menghormati keputusan nekad yang dibuat Irfan Bakti dalam mesyuarat khas postmortem yang dihadiri oleh barisan kejurulatihan semalam selepas mengambil kira semua aspek.
“Ketua Jurulatih dalam mesyuarat khas itu telah memanjangkan permohonan peletakan jawatan sebagai Ketua Jurulatih TFC serta-merta.
“Hasrat peletakan jawatan diluahkan dengan kerelaan hati dan hal ini akan dimuktamadkan melalui cara dan prosedur yang betul,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Terengganu Football Club, tengah malam tadi.
Tengku Farok berkata, pihak pengurusan telah memberi mandat kepada Penolong Ketua Jurulatih, Mohamad Nafuzi Zain untuk mengalas tugas-tugas Ketua Jurulatih buat sementara waktu sehingga menemui calon bersesuaian bagi meneruskan cabaran sembilan perlawanan Liga Super dan saingan Piala Malaysia.
Dalam perkembangan sama, beliau menafikan sebarang dakwaan kononnya prestasi tidak menentu dan kekalahan memalukan itu berpunca daripada kegagalan pembayaran gaji kepada pemain.
Katanya, PBSNT menaungi TFC 1, TFC 2, TFC 3, TFC 4 dan TFC 5 dengan pembayaran gaji dibuat pada tarikh 25 hari bulan setiap bulan dan paling lewat pada 7 hari bulan di samping soal pemberian bonus kemenangan bagi setiap perlawanan yang diuruskan dengan baik.
“PBSNT amat mengharapkan agar pasukan TFC kembali bangkit dan cepat memposisikan kedudukan untuk mengharungi cabaran yang berbaki.
“Dengan keputusan pemilihan Mohamad Nafuzi sebagai ‘caretaker’ atau pengendali sementara, diharap beliau mampu menjalankan tugas seterusnya membantu pasukan sebaik yang mungkin,” katanya.
Tengku Farok berkata, jasa Irfan Bakti tentunya akan dikenang kerana telah menyumbang bakti kepada bola sepak Terengganu dengan kejayaan-kejayaan sebelum ini termasuk pada tahun 2011 membantu Terengganu menjuarai Piala FA, Naib Juara Piala Malaysia dan Naib Juara Liga Super seterusnya layak ke saingan AFC 2012 buat pertama kali dalam sejarah.
Katanya, Irfan Bakti yang kembali membimbing skuad penyu buat kali kedua pada 2017 telah membantu TFC merangkul Naib Juara Liga Premier serta membawa pasukan ke Liga Super 2018 serta Naib Juara Piala Malaysia 2018.
“Kepada seluruh peminat bola sepak Terengganu, sokongan amat diperlukan ketika ini untuk membawa pasukan kembali gah mengharungi saingan yang masih berbaki. Pemain ke-12 merupakan sebahagian nadi kejayaan sesebuah pasukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











