JITRA 7 Mei – Seorang ibu tunggal yang mempunyai sembilan anak terkejut apabila menerima sumbangan berupa keperluan dapur sempena menyambut Ramadan baru-baru ini.
Sharipah Hashim, 62, turut bersyukur dan berterima kasih di atas sumbangan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diserahkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA), Profesor Madya Dr. Hendrik Lamsali.
“Saya terkejut dan tidak menyangka sama sekali akan menerima sumbangan dari UUM.
“Diharapkan sumbangan beras, gula, kopi, minyak, susu, tepung gandum dan lain-lain ini akan digunakan untuk bersahur dan majlis berbuka nanti,” katanya semasa menghadiri majlis penyerahan kunci rumah mangsa kebakaran yang membabitkan siswi UUM Ahad lalu oleh Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani.
Sementara itu, Dr. Hendrik ketika ditemui berkata, sumbangan itu diharap dapat meringankan keluarga ibu tunggal yang terpaksa menyara sembilan anak termasuk dua anak yang kurang sihat masing-masing berumur 32 dan 26 tahun selepas kematian suami empat tahun lalu akibat serangan jantung.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UUM, Dr. Massudi Mahmuddin dan Pengarah Pusat Alumni, Dr. Muslimin Wallang. – UTUSAN ONLINE











