KUALA LUMPUR 30 Mei – Golongan ibu bapa kepada bakal peminjam-peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) digesa supaya bersuara agar 180,000 hingga 200,000 peminjam terus menerima pinjaman pendidikan setiap tahun.
Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, ibu bapa berkenaan boleh menyalurkan pandangan mereka menerusi pelbagai saluran seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau persatuan penduduk sebelum disalurkan secara rasmi kepada PTPTN.
“Sekiranya kita tidak melakukan sebarang tindakan yang signifikan bermula daripada sekarang, maka unjuran yang kita bentangkan sebelum ini akan menjadi beban kepada negara.
“Ramai yang tidak perasan kesan apabila negara berhutang yang akhirnya rakyat yang perlu bayar. Kita sering dimomokkan sebelum ini iaitu tidak mengapa kerajaan berhutang sedangkan akhirnya nanti rakyat yang terbeban,’ katanya kepada pemberita di Majlis Berbuka Puasa Bersama Media, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, seramai 200 anak yatim turut diraikan dengan sumbangan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Dalam perkembangan sama, Wan Saiful memberitahu, proses semakan Konsultasi Rakyat dijangka selesai pada 13 Jun depan dan pihaknya memerlukan tempoh dua minggu untuk mengumpul data analisis tersebut sebelum dibentangkan kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
“Saya rasa saya akan cuba untuk membuat ringkasan agar menteri dapat membentangkan dalam sidang Parlimen nanti,”katanya.
Awal bulan lalu, Wan Saiful mendedahkan hutang PTPTN akan meningkat sebanyak RM76 bilion dalam tempoh 20 tahun jika 51 peratus peminjam sedia ada yang bermasalah masih enggan membayar hutang masing-masing.
Sementara itu, dalam ucapannya, Wan Saiful berkata, pihaknya memperuntukan RM2.2 juta sempena Ramadan ini bagi mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada golongan kurang bernasib baik.
“Kesemua sumbangan ini menggunakan zakat PTPTN dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs),” katanya. – UTUSAN ONLINE











