SETELAH pemergian abangnya, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din pada 2016, negara semalam bersedih dengan kembalinya ke rahmatullah sebutir lagi permata agama, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz.
Pemergiannya dalam usia 73 tahun pada kira-kira pukul 7.30 pagi setelah rebah dan tidak sedarkan diri ketika bangun hendak menunaikan solat Subuh mengejutkan kita.
Adik kepada seorang lagi pendakwah terkenal, Allahyarham Ishak Din – juga meninggal dunia

pada 2016 – ini begitu dekat dengan hati umat Islam dan turut disenangi orang bukan lslam dengan perwatakannya yang lemah lembut, penyayang.
Beliau sering muncul di pentas-pentas ceramah agama khususnya di masjid-masjid seluruh negara dalam usahanya memartabatkan syiar Islam.
Allahyarham dilahirkan di Perlis dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Derma, Arau, sebelum ke Sekolah Agama Arab Alawiyah dan melanjutkan pelajaran di Mesir. Dua orang tuanya menitikberatkan pendidikan agama yang agak bertentangan dari apa yang biasa dilakukan oleh ibu bapa zaman itu yang bangga jika anak-anak mereka bersekolah di sekolah Inggeris.
Adik beradiknya yang berjumlah 10 orang (tiga lelaki dan tujuh perempuan) hampir kesemuanya ustaz dan ustazah.
Abu Hassan mula bertugas di Pusat Islam pada 1976 sebelum berkhidmat di Masjid Negara pada tahun berikutnya sehingga memangku jawatan Imam Besar.
Allahyarham pernah menjadi penasihat agama kepada beberapa Yang di-Pertuan Agong termasuk Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Sultan Mizan Zainal Abidin.
Gambar Allahyarham dibonceng dengan basikal oleh arwah abangnya Haron yang tular dalam media sosial tiga tahun lalu pasti mengusik kenangan dan perasaan kita termasuk penulis sendiri.

Semasa ditemui wartawan pada 2016, Abu Hassan disuakan dengan gambar berkenaan.
“Oh, ni gambar tiga empat tahun lepas (sekitar 2012/2013). Ketika majlis Allahyarham (Haron) nak bina masjid baharu di Perlis. Ada lima hingga enam buah masjid juga dia bina. Gambar ni…larat juga dia bawa saya naik basikal. Cuma kena tukar gear rendah, maklumlah, adiknya lebih berisi,” kata Abu Hassan sambil tergelak kecil, dipetik dari portal MyNewsHub.
Haron meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Amerika Syarikat pada September 2016.
Perjuangan arwah dalam menegakkan syiar Islam tidak pernah luntur sehingga ke akhir hayatnya. Kelmarin Allahyarham sempat lagi berpesan kepada jemaah-jemaah Surau An-Nur Fasa 3A, Bandar Seremban Selatan dalam kuliah maghrib bertajuk Andai ini Ramadan Terakhir: “Jangan tinggalkan solat walaupun sekali.”
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh-Nya. Al-fatihah.











