SERAMAI 150 saudara baharu daripada 34 keluarga Orang Asli etnik Jahut Kampung Sungai Kiol, Jerantut, Pahang, baru-baru ini diraikan oleh Unit Hal Ehwal Wanita (Halwa), Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak menerusi program Ahlan Ya Romadhan.
Ketua Halwa DUN Damak, Siti Roswati Shikh Ghalib, 55, berkata, program merupakan antara kegiatan pendidikan dan dakwah pertubuhan itu bagi memantau kebajikan saudara baharu Orang Asli dalam menempuhi Ramadan.
“Pendekatan kita untuk mengajak saudara baharu Orang Asli Islam di sini memuliakan sepanjang Ramadan dengan menitip pengetahuan mengenai erti puasa, amalan berbuka puasa, solat tarawih dan bertadarus al-Quran.
“Ilmu berkenaan disampaikan oleh pendakwah dan guru Pendidikan Islam, Syed Othman Syed Jaafar menerusi pendekatan yang sesuai supaya mereka (Orang Asli) benar-benar menghayati amalan Rukun Islam ketiga ini,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Program turut disertai Ahli Dewan Undangan Damak, Zuridan Mohd. Daud bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan berupa barangan keperluan makanan kepada saudara baharu Orang Asli.
Tambah Siti Roswati, beliau bersyukur mendapati pegangan agama Islam serta amalan saudara baharu di kampung itu dilihat semakin kukuh, malahan ada sebilangan penduduk yang mula ingin mengenali Islam setelah melakukan kunjungan kali kedua.
Katanya, saudara baharu Orang Asli Sungai Kiol telah mendapat bimbingan solat dan tadarus al-Quran daripada seorang guru agama, Basiron Jathi yang juga bersungguh-sungguh menarik kalangan belia di situ mendekati Islam.
ERAT UKHUWAH
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Kiol, Tok Batin Walid a/l Ting, 57, berkata, beliau gembira menerima kunjungan pihak luar yang jarang diadakan di kampung berkenaan.
Menurutnya, kunjungan itu mampu mengukuhkan ukhuwah dan menjadi peluang bagi penduduk Islam mengikuti sepenuhnya ajaran Islam di samping menarik penduduk yang bukan Islam memperoleh hidayah.
Manakala bagi saudara baharu, Samsiah Gadoh @ Gani, 45, berkata, sumbangan makanan daripada wakil rakyat dan Halwa DUN Damak mampu meringankan beban perbelanjaan persiapan keluarganya dan penerima lain dalam menyambut Ramadan ini.
“Saudara baharu Orang Asli di sini sangat menagih ihsan bantuan dermawan luar, bukan sahaja aspek kebajikan malahan pendidikan Fardu Ain dan al-Quran bagi memantapkan akidah sebagai seorang Muslim. – UTUSAN ONLINE











