Hadiah perpisahan terakhir Bayern kepada Ribery, Robben - Utusan Malaysia

Hadiah perpisahan terakhir Bayern kepada Ribery, Robben

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN – Dua pemain Bayern Munich, Franck Ribery dan Arjen Robben menamatkan karier bersama pasukan itu dengan cemerlang apabila merangkul gelaran Piala DFB-Pokal selepas menang 3-0 ke atas RB Leipzig pada aksi final di Stadium Olimpik Berlin awal pagi semalam.

Meskipun dimasukkan pada lewat permainan, namun dua pemain veteran itu tetap memberi aksi yang cemerlang pada penampilan terakhir dengan menyarung jersi Bayern.

Dua jaringan Robert Lewandowski dan satu gol daripada Kingsley Coman sudah cukup untuk membantu Robben dan Ribery menamatkan karier mereka bersama Bayern dengan trofi terakhir, sekali gus menjadi hadiah perpisahan paling bermakna buat dua pemain berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ribery, 36, berkata, kejuaraan berganda yang diraih Bayern musim ini merupakan penamat gemilang buat dirinya selepas menabur bakti di Allianz Arena selama 12 tahun.

“Saya sangat gembira. Inilah yang saya impikan sebagai hadiah perpisahan untuk saya, iaitu meninggalkan pasukan ini dengan gelaran juara pada perlawanan terakhir. Saya bangga dengan prestasi semua pemain pada perlawanan ini (semalam).

“Sudah tentu saya sangat sedih meninggalkan pasukan ini kerana karier saya akan berakhir. Walaupun berada di bangku simpanan, saya tetap rasa sedikit emosi melihat rakan sepasukan beraksi di atas padang,” kata Ribery.

Menerusi kemenangan itu, kedudukan jurulatih, Niko Kovac juga terjamin selepas timbul spekulasi bahawa dia mungkin dipecat sekiranya gagal mengemudi Bayern meraih gelaran berganda musim ini. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini