JOHOR BAHRU 29 Mei – Gurdwara Sahib Johor Bahru kesal kerana majlis buka puasa di rumah ibadat tersebut pada malam tadi mengundang pelbagai persoalan yang disifatkan amat sensitif.
Justeru kata Pengerusi Jawatankuasa Gurdawara Sahib Johor Bahru, Manjit Singh Rakmu, pada masa akan datang penganjuran majlis seumpama itu akan diteliti terlebih dahulu sebelum dibenarkan.
“Gurdawara Sahib Johor Bahru sentiasa mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan daripada pelbagai bangsa dan agama (di Gurdwara Sahib tersebut).
“Bagaimanapun pada masa akan datang, kita juga akan memastikan sebarang program yang dianjurkan melibatkan kehadiran agama dan bangsa lain dirujuk kepada pihak atau jabatan yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Majlis Iftar Muhibbah itu tetap diteruskan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir walaupun mendapat bantahan banyak pihak tidak bersetuju dengan penganjuran di rumah ibadat tersebut yang dihadiri kira-kira 250 tetamu.

Antara yang hadir Naib Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Mohd. Shaiful Choo, Konsulat Jeneral Singapura di Johor Bahru, Rajpal Singh dan Timbalan Pengerusi Masjid India Muslim Johor Bahru, Muhyidin Hamid.
Manjit berkata, pihak jawatankuasa tersebut tidak dimaklumkan mengenai penganjuran masjlis berbuka puasa dengan Ahli Parlimen Johor Bahru itu.
Katanya, untuk maklumat majlis itu dirancang seorang ahli biasa Gurdawara Sahib Johor Bahru dan tidak melibatkan ahli-ahli jawatankuasanya.
“Malah tiada sebarang jemputan mengenai majlis berbuka puasa bersama-sama Ahli Parlimen Johor Bahru itu dipanjangkan kepada ahli-ahli jawatankuasa mahu pun ahli biasa Gurdawara Sahib Johor Bahru,” katanya.
Beliau berkata, tiada sebarang surat rasmi mengenai penganjuran majlis berbuka puasa itu dikemukakan kepada pihak jawatankuasa tersebut.
“Pihak Jawatankuasa Gurdawara Sahib Johor Bahru turut ingin menegaskan bahawa pihak kami tidak terlibat dalam sebarang penganjuran mahupun perbelanjaan majlis berbuka puasa bersama-sama Ahli Parlimen tersebut,” katanya.
Ahli biasa itu katanya, hanya memaklumkan mengenai satu majlis akan diadakan petang semalam di dewan makan rumah ibadat tersebut. – UTUSAN ONLINE











