IPOH 11 Mei – Para peniaga makanan di negeri ini dinasihatkan supaya tidak melanggar peraturan di bawah Enakmen Jenayah Syariah dengan menjual makanan kepada umat Islam yang tidak berpuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, dalam enakmen berkenaan, jelas terdapat peruntukkan yang melarang penjualan makanan pada waktu siang oleh premis yang diusahakan orang Islam.
Katanya, tindakan sesetengah peniaga yang masih berbuat sedemikian meskipun telah beberapa kali diberikan nasihat seolah-olah mencabar peraturan sedia ada.
“Kita tidak menghalang mereka berniaga tetapi perlulah mengikut peraturan dan ia dibuat dengan cara menghormati bulan Ramadan seperti dibuka pada waktu petang dan makanan tidak dijual kepada mereka yang tidak berpuasa.
“Kita tahu ada yang tidak berpuasa tetapi itu tidak bermakna mereka boleh melanggar peraturan sehinggakan tidak menghormati keharmonian bulan Ramadan itu sendiri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bazar Ramadan Silibin di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai serbuan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ke sebuah premis makanan di sini yang popular dengan kegiatan ‘geng plastik hitam’ baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE











