KUALA LUMPUR 1 Mei – Mohd. Fitri Ashraff Razali bakal menggalas dua tanggungjawab pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Tangkak, Johor, hujung minggu ini.
Selain beraksi dalam kategori CP150 bersama pasukan Cilik RCB Motorsport, pelumba berusia 25 tahun itu juga akan bertindak sebagai pengurus pasukan FAR MMB Junior Team yang beraksi dalam kategori Wira.
Walaupun mengakui bukan mudah menggalas dua tugas pada satu masa, namun berbekal pengalaman sebagai pelumba Fitri yakin mampu menjalankan tanggungjawab tanpa menjejaskan aksinya dalam kelas perdana.
“Saya tidak mempunyai banyak masalah sebagai pelumba kerana mempunyai anggota pasukan yang berpengalaman. Mereka mampu menyediakan jentera yang kompetitif dan ia terbukti pada pusingan lepas apabila saya dapat menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
“Selain itu, rakan sepasukan, Rozaiman Said dan Sharifuddin Shamsuddin juga sudah lama terlibat dengan Cub Prix, jadi pengalaman mereka turut membantu pasukan untuk mempersiapkan jentera terbaik untuk kami.
“Cuma nasib Rozaiman tidak begitu baik kerana mengalami sedikit masalah teknikal dan belum berada pada tahap terbaik.
“Saya sukakan tugas baru ini kerana dapat menyumbang tenaga untuk membimbing pelumba-pelumba muda. Kalau diperhatikan dalam barisan pasukan di Cub Prix, saya merupakan antara pengurus termuda yang ada dan tidak ramai pelumba yang menjadi pengurus ketika mereka masih berlumba.
“Saya jadikan tugas ini sebagai satu cabaran besar dan sebagai persediaan untuk masa akan datang,” kata Fitri. – UTUSAN ONLINE











