Final Liga Europa: Cech mahu buat Chelsea derita - Utusan Malaysia

Final Liga Europa: Cech mahu buat Chelsea derita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 27 Mei – Penjaga gol berpengalaman Arsenal, Petr Cech bakal mengakhiri karier bola sepaknya sebagai pemain selepas aksi final Liga Europa menentang Chelsea di Baku, Azerbaijan awal pagi Khamis ini.

Namun jauh di sudut hatinya, Cech, 37, memasang hajat mahu menghadiahkan Arsenal kejuaraan sekaligus tiket ke Liga Juara Juara Eropah musim depan.

Pada masa sama beliau juga mahu meninggalkan kenangan pahit buat Chelsea pada penampilan terakhirnya sebelum bersara biar pun dirinya hangat dikaitkan akan ke Stamford Bridge sebagai pengarah selepas itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya akan membuat keputusan tentang masa depan saya selepas aksi terakhir itu nanti,” katanya tanpa mengesah atau menafikan berita yang dirinya akan ke Chelsea sebagai pengarah kelab selepas bersara.

“Apa yang penting sekarang, tumpuan saya adalah terarah untuk menjuarai Liga Europa bersama Arsenal. Inilah impian terakhir saya dan peluang terakhir saya untuk memenanginya,” tambah Cech.

Sebelum ke Arsenal pada 2015, Cech juga pernah menjadi penjaga gol Chelsea selama 11 musim dengan meraih 13 trofi termasuk juara Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara Juara Eropah.

Malah hubungan rapatnya dengan pemilik Chelsea, Roman Abramovich bukan lagi rahsia dalam kalangan umum sekaligus ada yang mempertikaikan keikhlasannya untuk membantu Arsenal muncul juara kali ini.

Bagaimanapun pengurus Arsenal, Unai Emery berkata, Cech berhak diturunkan kerana dia beraksi dalam setiap peringkat kalah mati Liga Europa sehingga Arsenal berjaya layak ke final.

“Dia berhak diberi peluang sama ada untuk aksi selamat tinggal atau pun tidak. Saya mahu menikmati aksi final ini bersamanya sebagai seorang penjaga gol yang cukup berpengalaman dan profesional,” tegas Emery. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini